Harkahdaily
KUALA LUMPUR - Setiausaha Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Hasni Abas akan melancarkan Kelab Mangsa Dasar Penghapusan Jawi (MANGSA) bersempena Sambutan 35 Tahun PAS Wilayah Persekutuan, di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, dekat sini pada 26 Julai jam 10 pagi.
Menurut Setiausaha PAS Kawasan Batu, Haji Ismail Yahya, seramai 30 anak muda yang menjadi mangsa kepada penafian hak untuk mendapatkan pendidikan jawi setelah Menteri Pelajaran waktu itu, Dato' Mohd Khir Johari menghapuskan tulisan dan bacaan jawi di sekolah-sekolah sekitar tahun 1960an, akan melafazkan ikrar menuntut pihak kerajaan BN memohon maaf kepada seluruh rakyat yang menjadi mangsa akibat dasar itu.
"Secara simbolik, kesemua 30 mangsa akan berikrar dan memakai t-shirt khas berwarna hitam sebagai tanda 'kehancuran' dan di bahagian depan serta belakang t-shirt itu tertulis nama kelab dengan perkataan "mangsa" bersaiz besar.
Katanya lagi, pelancaran kelab ini merupakan antara pengisian program Karnival Keluarga Mesra Jawi anjuran PAS kawasan. Selain itu, terdapat pelbagai acara untuk seisi keluarga seperti pertandingan mewarna, membaca dan menulis jawi, tulisan khat, sukaneka, jualan amal dan jagoton.
Orang ramai seluruh Wilayah digalakkan hadir untuk merayakan karnival yang julung kali diadakan ini. Ia bermula jam 8.00 pagi dan berakhir 2.30 petang. Karnival akan dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah, Haji Mohamad Nor Mohd.- tmj_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.