UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengumumkan pembayaran balik lebihan cukai sebanyak RM3.1 bilion kepada 323,517 pembayar cukai pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasmah Abdullah berkata, jumlah itu merangkumi 70 peratus daripada keseluruhan kes pembayaran balik yang mengambil masa antara sebulan hingga tiga bulan.
Katanya, pembayaran balik itu dibuat sama ada secara dalam talian atau manual.
''Kita sudah membayar semula lebihan cukai berjumlah RM3.1 billion kepada individu dan syarikat berkenaan.
''Angka itu disifatkan normal dan kita jangka baki lebihan cukai akan diserahkan semula kepada pembayar dalam masa terdekat," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Mengenai dengan kes pembayaran balik lebihan cukai, Hasmah berkata, setiap tahun, pihaknya membuat pembayaran balik kepada kira-kira 400,000 pembayar.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 1,518,378 rakyat negara ini menggunakan sistem e-Filing LHDN bagi tujuan taksiran dan pembayaran cukai pendapatan masing-masing sehingga tengah malam tadi.
Katanya, jumlah tersebut semakin meningkat dari tahun ke tahun sejak sistem itu mula diperkenalkan pada 2006.
''Sehingga pukul 12 tengah malam tadi, jumlah itu mencecah 1.5 juta dan ia tidak dikira sekali dengan borang yang dihantar secara manual.
''Ia menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun. Peningkatan mendadak ini menunjukkan sikap positif masyarakat negara ini terhadap kemudahan e-Filing," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Hasmah menegaskan, individu yang gagal melunaskan cukai pendapatan perlu menyelesaikan penalti sebelum nama mereka 'dibersihkan'.
Tegas beliau, jumlah penalti yang perlu dibayar adalah dalam lingkungan RM200 sehingga RM2,000 bergantung kepada jumlah cukai mereka.
''Kita kenakan denda minimum RM200 atau 10 peratus daripada jumlah cukai mereka dan jumlah itu tidak melebihi RM2,000 untuk setiap kes," jelasnya.
Penggunaan e-Filing daripada rakyat negara ini mencatatkan peningkatan daripada 184,593 orang pada tahun 2006, manakala 2007 (699,922) dan 2008 (1,156,277).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.