Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
KUALA LUMPUR - Dua bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy dan Tun Dr. Ling Liong Sik mungkin dipanggil memberi penjelasan berhubung dakwaan penyelewengan dalam Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid memberitahu kedua-duanya antara yang dikenal pasti untuk memberi penjelasan kepada jawatankuasa itu termasuk Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Bagaimanapun tegasnya, mereka yang dipanggil tidak semestinya bersalah kerana tindakan itu bertujuan mendapatkan penjelasan dalam beberapa perkara yang agak kabur.
"Ada sesetengah perkara yang kita rasa salah tetapi hakikatnya mungkin betul, itulah sebabnya kita terpaksa panggil mereka untuk mendapatkan kepastian terutama dari sudut perundangan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Azmi berkata, mesyuarat PAC hari ini membincangkan mengenai bentuk-bentuk soalan yang akan ditanya apabila nama-nama yang dikenal pasti itu dipanggil kelak.
Jelas beliau, nama-nama yang dikenal pasti itu terkandung dalam senarai laporan oleh Pricewaterhouse Coopers Advisory Services Sdn. Bhd. (PwC) pada 28 Mei dan laporan Ketua Audit Negara.
Katanya, individu yang tidak dinamakan dalam kedua-dua laporan itu juga akan dipanggil untuk memberikan penjelasan lanjut.
"Mereka ini dituduh tetapi tiada tempat untuk membela diri, jadi PAC akan memanggil dan memberi ruang kepada mereka untuk membersihkan diri sekiranya tidak bersalah," ujarnya.
Menurutnya, laporan hasil siasatan itu dijangka dapat dibentangkan di Parlimen Oktober ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.