Isnin, 1 Jun 2009

Peratus undian Penanti catat rekod paling buruk

UTUSAN ONLINE


BUKIT MERTAJAM _ Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti mencatatkan sejarah peratusan keluar mengundi terendah dalam sejarah pilihan raya negara apabila hanya 46.15 peratus atau 7,100 daripada 15,384 pemilih berdaftar keluar mengundi.

Walaupun calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mansor Othman hanya bertanding dengan tiga calon Bebas yang lain, beliau hanya mampu memperoleh undi sebanyak 6,052 sahaja.

Jumlah itu berkurangan sebanyak 1,294 berbanding undi yang diperoleh oleh calon PKR Mohammad Fairus Khairuddin pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu iaitu 7,346 undi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mengesahkan peratusan tersebut jauh lebih rendah dan rekod paling buruk dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Keputusan pilihan raya tersebut juga jelas menunjukkan sebahagian besar pengundi tidak mahu keluar mengundi kerana tidak bersetuju dengan cara pilihan raya itu diadakan hanya semata-mata kerana mahu menyelesaikan masalah dalaman PKR.

Tindakan Mohammad Fairus meletak jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu bagi membuka jalan kepada satu pilihan raya kecil juga dilihat sebagai satu ‘penyalahgunaan demokrasi’ secara terang-terangan oleh PKR selain membazirkan wang rakyat.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, peratusan yang kecil itu merupakan ‘protes’ yang jelas bahawa rakyat sudah muak dan tidak merestui permainan politik pembangkang yang hanya menyusahkan rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.