SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor mengetengahkan satu dasar baru pencapaian internet di Selangor yang dipanggil ‘u_wisel’ dalam usaha membolehkan rakyat di negeri ini sama ada di bandar atau luar bandar mengakses internet.
Dalam masa yang sama, bagi menjayakan dasar berkenaan, kerajaan negeri memperkenalkan satu teknologi baru dinamakan ‘Hybrid Wireless Infrastructure Network’ (Hywin) yang menggabungkan teknologi wifi dan wimax.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, projek berkenaan melibatkan pelaburan bernilai RM2 bilion dan pihaknya menjangkakan kemudahan mengakses internet di seluruh Selangor dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun lagi.
”Konsepnya adalah ‘you are connected in Selangor’, kita mahu Selangor ‘to be connected’ dengan dua cara iaitu dengan cara ‘wires’ ataupun gentian fiber dan juga dengan tanpa wayar.
”Sesiapa yang ingin terlibat dalam memberikan servis ini mesti menepati empat dasar utama iaitu kita akan lihat dari segi kebolehan lipu-tan (kawasan bandar dan juga luar bandar), kedua, dari sudut kualiti bermakna jika beri satu megabait (kapasiti kelajuan) tidak akan berkurangan sekiranya ramai yang mengakses,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco di sini.
Menurutnya, pihaknya juga mahu pembekal yang berminat mengekalkan program berkenaan dalam jangka panjang dan mengambil kira pencemaran pemandangan dan radiasi terhadap penduduk yang terlibat.
Katanya, program berkenaan juga perlulah mempunyai impak ekonomi kepada rakyat dengan cara memberi kebebasan kepada mereka untuk memilih pili-han bayaran harga yang berbeza serendah RM30 sebulan untuk mengakses internet.
”Kita jangka dengan teknologi yang baru ini, Selangor ‘will be connected’ dengan lebih baik dan meluas, dan diharap dalam masa dua hingga lima tahun ini tidak akan ada ‘blind spot’,” katanya.
Menurutnya, bagi meningkatkan penggunaan internet dalam kalangan rakyat negeri ini yang kini hanya 20 peratus kepada 100 peratus, sebagai langkah awal, projek berkenaan akan dibangunkan di Shah Alam terlebih dahulu.
Katanya, buat masa ini hanya sebuah syarikat yang dikenal pasti dapat membekalkan teknologi berkenaan dan menepati empat dasar yang diperlukan kerajaan negeri iaitu Prosontech Sdn Bhd.
Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, projek berkenaan terbuka kepada semua pembekal sama ada di dalam atau di luar negara bagi mewujudkan budaya kompetitif.
”Ia adalah terbuka (kepada mana-mana pembekal), ideanya adalah untuk mewujudkan satu standard. Pelaburan RM2 bilion adalah daripada pembekal, kita mahu mereka menjadi sangat kompetitif.
”Kita akan maklumkan kepada mereka di mana kawasan yang perlu dibangunkan, maknanya kerajaan negeri akan menyediakan semua info dan oleh itu, mereka boleh bersedia dengan pelaburan mereka. Ia (tawaran menjadi pembekal) dibuka mulai sekarang (kelmarin),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.