Oleh TAN MING WAI,
M. SHAHRINNAHAR A. LATIB dan RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
PETALING JAYA – Dua buruh warga Indonesia maut, manakala lima lagi dikhuatiri masih tertimbus apabila bangunan pusat beli belah Jaya Supermarket setinggi enam tingkat di Seksyen 14 di sini runtuh ketika kerja-kerja mengubah suai dilakukan.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4.45 petang ketika terdapat antara 20 hingga 30 pekerja asing sedang menjalankan kerja-kerja persediaan sebelum merobohkan salah satu blok bangunan itu.
Bagaimanapun, dua daripada pekerja warga Indonesia berjaya diselamatkan dan dibawa keluar untuk menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) petang ini.
Mereka dikenali sebagai Suriono, 31, dan Salleh, 48. Suriono ditemui di celah-celah runtuhan bangunan itu pada pukul 5.08 petang dan dibawa ke Wad Kecemasan PPUM.
Salleh berjaya ditemui pukul 5.48 petang dan dirawat sebagai pesakit luar di pusat perubatan yang sama.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mayat mangsa pertama yang dikenali sebagai Mashor, 28, ditemui dan dibawa keluar pada pukul 6.50 petang.
Sementara mangsa kedua pula ditemui pukul 10.30 malam ini. Identiti pekerja itu masih belum dikenal pasti.
Enam pekerja yang masih tertimbus termasuk salah seorang daripadanya mayat kedua yang ditemui, dikenali sebagai A. Shuki; Roup; Hadi; Fauzan; Maddekid dan Anwaruddin. Kesemua mereka berusia antara 30 hingga 40 tahun.
Arjunaidi berkata, seramai 150 pegawai dan anggota polis, bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dikerahkan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Katanya, pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa menggunakan kren serta jentera untuk memantau runtuhan kecil di tapak bangunan enam tingkat itu.
‘‘Pasukan mencari dan menyelamat turut menggunakan alat khas selain khidmat anjing pengesan untuk mencari mangsa di dalam kawasan bencana setelah keadaan disahkan selamat,’’ katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam ini.
Kawasan runtuhan yang terlibat adalah kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan 6,400 meter persegi bangunan berkenaan.
Pusat beli belah Jaya atau lebih dikenali sebagai Jaya Supermarket adalah kawasan tumpuan penduduk untuk membeli belah yang pertama dibangunkan di bandar Petaling Jaya.
Bangunan tersebut mula dibuka pada tahun 1974 di Jalan Semangat, Seksyen 14 dan ditutup untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin yang melawat lokasi itu pukul 9.50 malam ini berkata, mangsa-mangsa terperangkap di bawah runtuhan dan dijangka mengambil masa yang agak lama untuk dikeluarkan.
Beliau memberitahu, runtuhan tersebut mungkin berlaku disebabkan terdapat lapan jentera berat yang diletakkan di beberapa tingkat di bangunan tersebut.
‘‘Kita tidak dapat mengesan di aras mana jentera-jentera itu ditempatkan. Operasi menyelamat akan diteruskan dalam masa 24 jam dari sekarang,” katanya kepada pemberita malam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.