Isnin, 2 Februari 2009

Adun BN tidak pasti sertai PKR

Muda Mohd Noor


Seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno yang diura-urakan akan menyertai PKR, Datuk Ahmad Fakeh Adam kini mengambil "sikap tunggu dan lihat" sebelum berbuat demikian.

Tambahnya, niatnya untuk menyertai PKR telah mula berkurangan sedikit susulan perkembangan terbaru politik Perak kebelakangan ini.

"Kena tengok perkembangan yang sedang berlaku sekarang.

"Takut yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran. Ditelan mati emak, diluah mati ayah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Rabu lalu, Ahmad Fakeh yang juga Adun Lintang berkata, beliau berhasrat menyertai PKR dan memerlukan "beberapa hari" untuk membuat keputusan muktamad.

Ahmad Fakeh berkata, beberapa Adun lagi dipercayai berminat untuk melompat kepada Pakatan Rakyat.

Wakil-wakil rakyat itu dipercayai bekas ketua Umno Beruas, Datuk Hamdi Abu Bakar dan ketua Umno Larut, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Menurutnya, kedudukan tidak menentu dua Adun PKR menyebabkan beliau terpaksa mengambil pendirian tunggu dan lihat.

Adun Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu dipercayai telah meletakkan jawatan tetapi mereka, yang ingin meninggalkan PKR, menafikannya.

Speaker DUN Perak, V Sivakumar telah memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) negeri mengenai kekosongan kedua-dua kerusi tersebut.

"Tengoklah dulu apa yang berlaku, kita tidak boleh bodohkan diri. Kalau salah tindakan, rakyat salahkan kita," katanya.

Ahmad Fakeh yang kalah bertanding jawatan ketua bahagian Umno Sungai Siput, Oktober lalu, sebelum ini dilaporkan berkata, niat hendak kekal dalam Umno dengan masuk pembangkang "sama banyak".

"Orang PAS, PKR dan DAP hari-hari telefon dan hantar SMS. Yang dah datang jumpa pun ada, yang nak jumpa pun ada lagi," kata Ahmad Fakeh kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.