Selasa, 3 Februari 2009

Adun Behrang, Changkat Jering langgar ikrar taat setia kepada Sultan

Wan Nordin Wan Yaakob


KUALA LUMPUR, 3 Feb (Hrkh) - Susulan pengosongan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang mendakwa Adun Behrang dan Adun Changkat melanggar ikrar taat setia kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah jika benar mereka mahu keluar dari kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Ujar Ahmad, kesemua 31 Adun Pakatan Rakyat telah membuat ikrar taat setia kepada Sultan Perak ketika membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya Mac lalu.

Bagaimanapun jika dua Adun itu bertindak sebaliknya, ia boleh dituduh melanggar ikrar seterusnya menderhaka kepada Sultan.

"Semasa membentuk kerajaan Perak yang diketuai Menteri Besar, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin, dua Adun ini pernah membuat masalah (sebelum pelantikan Menteri Besar) yang menyebabkan Sultan bertitah agar pembentukan kerajaan ini jangan dipermainkan dan jangan suatu hari nanti ada yang akan keluar menyebabkan masalah kepada kerajaan," katanya.

Begitupun pelanggaran terhadap ikrar tersebut tidak memperuntukkan tindakan di bawah mana-mana akta mahupun undang-undang berkaitan, kata Ahmad yang dihubungi Harakahdaily.

Namun beliau menegaskan, walaupun dua Adun ini menyertai mana-mana parti lain termasuk BN, ikrar taat setia ini sebenarnya telah mengikat mereka dan dianggap menyokong kerajaan Pakatan Rakyat sejak Mac 2008.

"Pastinya ini hal yang mengharu-birukan," katanya.

Mengulas lanjut Ustaz Ahmad berkata, Menteri Besar sendiri telah mengadap Sultan bagi memaklumkan semula soal dua Adun ini pernah membuat ikrar di hadapan Baginda.

"Hal ini pastinya difikirkan Sultan," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamaluddin Mohd Radzi yang juga Exco Kerajaan Perak menafikan beliau telah menghilangkan diri minggu lalu dan telah meletakkan jawatan sebagai Adun Behrang.

Dalam kenyataannya yang diedarkan kepada media pada 2 Februari lalu di sebuah hotel dekat dengan lapangan antarabangsa KLIA, wakil rakyat KeADILan itu memberitahu beliau mengambil cuti sakit selama tiga hari mulai 28 Januari.

"Buat masa ini, saya akan meneruskan tugas saya dan tanggungjawab saya seperti biasa dan tidak timbul isu kononnya saya telah bertukar parti," katanya.

Kenyataan yang diedar oleh pegawai khasnya Firdaus Saharuddin itu menegaskan lagi, Jamaluddin masih berkhidmat sebagai Adun Behrang dan menyifatkan kenyataan Speaker DUN Perak pada 1 Februari "tidak berasas sama sekali".

Dalam sidang media ringkas, pegawai itu berkata Jamaluddin kini sedang dalam perjalanan dari Pahang ke Kuala Lumpur. Beliau bagaimanapun menafikan wakil rakyat KeADILan itu bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno berhubung desas-desus melompat parti kepada BN.- tmj

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.