Khamis, 22 Januari 2009

Politik wang pemilihan Umno: Bekas setiausaha politik menteri disiasat

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI]


PETALING JAYA: Sehari selepas mengumumkan bahawa tiga orang akan dihadapkan di mahkamah hari ini berhubung politik wang pemilihan Umno bahagian baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluaskan operasinya dengan dipercayai menahan 12 yang lain.

Antara yang ditahan adalah seorang bekas setiausaha politik menteri kerana dipercayai memberi rasuah bagi memastikan pemilihannya dalam pemilihan Umno Mac ini.

SPRM menahan mereka, yang berasal dari Pahang kerana menerima wang daripada pemimpin kanan Umno itu untuk mempengaruhi undi ketika pemilihan.

Difahamkan mereka ditahan semalam dan kelmarin dipercayai menerima rasuah antara RM300 sehingga RM500 seorang.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdullah berkata, 12 individu tersebut ditahan sejak petang kelmarin di sekitar daerah Maran dan Temerloh.

"Bagaimanapun, 11 daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan SPRM hari ini (semalam), manakala seorang lagi masih ditahan untuk siasatan lanjut," kata beliau dipetik Bernama.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada tangkapan masih dilakukan bagi membantu menyelesaikan kes tersebut.

Kelmarin SPRM memaklumkan tiga orang termasuk seorang Naib Ketua Umno akan didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan memberi wang rasuah ketika pemilihan Umno Bahagian Oktober dan November lalu.

Mereka melibatkan ahli Umno di Perak, Pahang dan Melaka.

Pemilihan Umno berlangsung selama sebulan antara awal Oktober dan November lalu.

Dalam kes pertama, jelas SPRM, seorang Naib Ketua Bahagian Umno di Perak dijangka didakwa atas dakwaan memberi wang rasuah RM300 kepada seseorang dalam pemilihan bahagian.

Sementara itu, seorang lagi ejen dijangka akan didakwa kerana memberi rasuah RM200 kepada seseorang bagi mengundi calon dalam pemilihan Ketua Bahagian Umno di Pahang.

Di Melaka, seorang lagi ejen juga dijangka didakwa atas dakwaan memberi RM200.

Ketiga-tiga mereka akan didakwa mengikut Seksyen 10(b) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2008.

Ia merupakan kes pertama melibatkan SPRM beroperasi sejak 1 Januari lalu.

Akhir bulan lalu, SPRM yang dulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkata, akan memfailkan pendakwaan terhadap sekurang-kurangnya tiga ahli politik berhubung kesalahan rasuah, politik wang dan salah guna kuasa dalam masa terdekat.

Selain itu, beberapa kes berkaitan isu sama yang selesai disiasat dihantar semula ke Bahagian Siasatan BPR untuk dikemas kini bagi menghasilkan kertas siasatan lebih kukuh, malah ada yang diserahkan kembali kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan dalaman parti berkenaan.

Bagaimanapun ahli politik yang akan didakwa itu bukan calon yang bertanding jawatan tertinggi Umno pada pemilihan parti itu, Mac depan.

Persetujuan untuk meneruskan proses pendakwaan terhadap tiga kes itu diberikan selepas meneliti secara terperinci kertas siasatan yang diserahkan Bahagian Siasatan BPR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.