Khamis, 22 Januari 2009

Kerap bantah konsert PAS tidak bimbang pengaruh terhakis

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB


PETALING JAYA: Bantahan Dewan Pemuda PAS terhadap penganjuran konsert dalam negara ini tidak akan menjejaskan sokongan masyarakat termasuk daripada kaum bukan Melayu terhadap parti itu.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusuf berkata, tindakan mereka membantah penganjuran konsert yang disifatkan boleh menyumbang kepada keruntuhan moral itu, sebaliknya akan memberi kesan positif dari segi sokongan terhadap mereka.

"Memang tindakan membantah konsert ini akan memberi kesan tetapi kesan yang positif.

"Kita tak boleh nak bersikap 'apologetic' dalam semua perkara... kita ada nilai dan prinsip yang perlu kita pertahankan dan kita kena suarakan.

"Saya percaya, masyarakat termasuk daripada kaum bukan Melayu akan faham dengan apa yang kita perjuangkan ini kerana sudah pasti semua orang tidak mahu anak-anak mereka terjebak dalam masalah moral termasuk gejala sosial dan dadah," katanya ketika dihubungi mStar Online, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas bantahan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan terhadap penganjuran konsert Rihanna Live in Kuala Lumpur anjuran Celcom (M) Berhad pada 13 Februari ini atas alasan ia tidak sesuai dengan budaya tempatan dan sentimen menghormati rakyat Palestin.

PAS sebelum ini pernah membantah beberapa konsert artis antarabangsa yang dianjurkan di negara ini termasuk Avril Lavigne dan Gwen Stefani serta dari Indonesia, Inul Daratista.

Ahmad Sabki berkata, PAS tidak menolak secara total sebarang bentuk hiburan dalam negara ini asalkan ia diadakan dalam tatacara yang sopan dan sesuai dengan adat ketimuran.

"PAS tidak ada halangan untuk hiburan tetapi biarlah ada tatacara. Kami tidak pernah menolak secara total. Kami membantah selagi ia tidak dikawal," katanya.

Katanya, pihaknya meminta kerajaan mengkaji semula tatacara penganjuran konsert yang pernah dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) beberapa tahun lalu yang telah ditolak oleh Kabinet.

"Kita dapati cadangan yang dikemukakan oleh JAKIM itu cukup sesuai bukan sahaja kepada masyarakat Islam tetapi juga bukan Islam yang antara lain mengasingkan antara lelaki dan perempuan semasa konsert dan garis panduan dalam pemilihan artis.

"Saya jamin, jika ada satu tatacara dalam penganjuran konsert ini termasuk dari segi pengurusan, pemilihan artis dan penyeliaan, kita tidak akan bantah," katanya.

Beliau berkata, konsert-konsert yang melibatkan artis luar negara kebanyakannya boleh menyumbang kepada gejala sosial yang akan menambah kecelaruan hidup golongan muda-mudi pada masa ini.

"Kita sepakat dalam membantah konsert seperti ini. Saya percaya Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah membuat kajian mengenai artis yang akan membuat persembahan itu nanti sebelum mereka membantah.

"Kita tidak mahu artis yang menonjolkan tarikan seksualnya semasa membuat konsert atau kumpulan rock yang terlalu 'keras' dan menonjolkan gaya hidup bebas dan liar," katanya.

Ditanya berhubung konsert tersebut yang akan tetap diteruskan walaupun mendapat bantahan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Sabki berkata, pihaknya sudah pun menyatakan hasrat mereka dan kini terpulang kepada kerajaan untuk meneruskannya.

"Kita tahu kuasa sebenar bukan di tangan penganjur tetapi kerajaan," katanya.

Berhubung jaminan daripada penganjur bahawa Rihanna akan mematuhi tata etika berpakaian ketika konsert itu nanti, Ahmad Sabki berkata, batasan itu adalah sesuatu yang perlu diambil berat.

"Sebab itu perlu ada suara yang memandang berat penganjuran konsert seperti ini. Kalau kita diam sahaja, perkara-perkara seperti ini akan diambil mudah.

"Kita mahu jadi 'gatekeeper' supaya batas-batas sedemikian tidak dilanggar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.