Harakahdaily
KUALA TERENGGANU - Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Dato' Mat Razali Kassim yang menjadi kontroversi ekoran dakwaan PAS bahawa beliau meraih undi untuk calon Barisan Nasional (BN), menarik diri daripada mengendalikan pilihan raya kecil tersebut berkuatkuasa hari ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pukul 8.20 malam tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan bahawa pihaknya telah menerima surat penarikan diri Mat Razali sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya mulai hari ini.
Menurut laporan sebuah akhbar online Setiausaha SPR, Dato' Ngah Senik berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat berhubung keputusan Mat Razali itu dan setelah memperhalusi pelbagai sudut permohonan penarikan diri itu, SPR bersetuju untuk menerima keputusan tersebut.
Justeru kata beliau, selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 3 (C) dan 5 (1) (a), Akta Pilihan Raya 1958, SPR melantik Wan Mustafa Wan Hassan sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang baru.
Wan Mustafa merupakan Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan juga salah seorang daripada enam penolong pegawai pengurus pilihan raya kecil Kuala Terengganu.
Bagaimanapun kenyataan SPR itu tidak menyatakan sebab beliau menarik diri.
Dalam reaksi segera, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Wan Abd. Muttalib Embong berkata, pihaknya hanya mahukan seorang pengurus pilihan raya yang bebas dan kelihatan bebas.
Ketika ditanya sama ada pihaknya menyambut baik perkembangan itu, beliau berkata, PAS akan menilai situasi tersebut.
PAS yang semalam mendakwa Mat Razali meraih undi untuk calon BN hari ini menggesa SPR menangguhkan hari pengundian Sabtu ini jika perlu.
Parti komponen Pakatan Rakyat itu mahu pilihan raya kecil kerusi Parlimen ini ditangguhkan sementara suruhanjaya memutuskan pengganti Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
"Jika wujud implikasi undang-undang dalam pelantikan Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang baru, SPR wajar menangguhkan pilihan raya kecil ini," kata Wan Abd. Muttalib Embong di Markas PAS Kuala Terengganu pagi tadi.
Kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 80,229 orang pengundi dan daripada jumlah itu, kira-kira tujuh peratus merupakan kakitangan awam.- azm _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.