Intan Abdullah
KUALA TERENGGANU - Ketika tidak sampai 48 jam lagi penduduk Kuala Terengganu akan membuang undi difahamkan berlaku kegiatan jual beli kertas undi sedang giat dijalankan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya telah mengenal pasti kegiatan tersebut daripada masyarakat Cina yang diberikan tawaran berkenaan.
"Kita dapat mengenal pasti tawaran kepada pengundi Cina menerusi satu perjanjian bagi mengeluarkan kertas undi kosong untuk diisi dengan harga RM1,000 seorang oleh BN," katanya di sini petang ini.
Menurutnya ia merupakan tindakan terdesak pada saat akhir BN bagi memenangi pilihan raya ini dengan menggunakan politik wang serta penipuan.
"Modus operandinya setelah pengundi tersebut bersetuju untuk menyerahkan kertas undinya, pengundi berkenaan akan mengeluarkan kertas undi yang kosong.
"Kertas undi berkenaan kemudiannya akan ditandakan oleh petugas BN di luar kawasan mengundi yang seterusnya dilipat untuk dibawa masuk kembali ke dalam tong undi," ujarnya.
Walau bagaimanapun, Wan Abdul Rahim berkata pihak yang merancang tindakan tersebut lupa kepada peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu Jadual 2 Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan raya) 1981, arahan-arahan sebagai panduan kepada pemilih.
"Ia menyatakan bahawa setiap pengundi dikehendaki melipat dua kertas undi sebelum dimasukkan ke dalam tong," katanya.
Sedangkan menurutnya, dalam penipuan yang dirancang itu, mereka tidak akan melipat dua kertas undi tersebut.
Oleh itu katanya, polling agent perlu peka semasa membuat pemantauan terhadap kecenderungan orang yang memasukkan kertas undi yang dibawa daripada luar.
"Polling agent yang dilantik akan bertindak membuat bantah terhadap pengundi yang didapati melakukan perkara tersebut.
"Tindakannya termasuk meminta pegawai SPR yang bertugas menjalankan pemeriksaan badan ke atas pengundi yang disyaki," katanya.
Justeru, pihaknya menyeru kepada semua pihak yang merancang melakukan kegiatan ini agar menyedari akan kesalahan dan risikonya.
"Mereka boleh didakwa di mahkamah dan dihukum denda atau penjara atau kedua -duanya sekali," ujarnya.
Ditanya mengenai tempoh kegiatan tawar menawar itu, beliau menjelaskan ia difahamkan bermula sejak seminggu lalu. - mj_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.