Rabu, 28 Januari 2009

Kes Kugan, KP Negeri perlu bercuti hingga siasatan selesai

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne menyeru supaya Ketua Polis Selangor, Dato' Khalid Abu Bakar mengambil cuti tanpa gaji sehingga siasatan kes kematian dalam tahanan, Kugan Ananthan selesai.

Gwo Burne mendesak Khalid bercuti sejajar dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Peguam Negara yang mengklasifikasi kes kematian Kugan Ananthan dalam tahanan polis di Subang Jaya sebagai kes bunuh.

Ujar Gwo Burne, bagi mengelakkan sebarang kecurigaan dari semua pihak bahawa polis akan mempengaruhi siasatan ini, maka Khalid diminta mengambil cuti sehingga siasatan terhadap kes ini selesai.

"Memandangkan kita masih belum melaksanakan Suruhanjaya Bebas Siatan Polis (IPCMC), siasatan polis terhadap anggota polis sudah tentu akan mengundang banyak spekulasi," katanya.

Di Subang Jaya, banyak laporan kes ragut dan pecah rumah dialami sehingga memberi ketakutan kepada penduduk, katanya.

Alasan yang diberikan oleh pihak polis Subang Jaya ialah kekurangan anggota polis yang mengawal di kawasan sekeliling, dakwanya.

Tetapi, insiden yang berlaku kepada pemuda 22 tahun pada 20 Januari lalu yang menunjukkan terdapat kesan-kesan jerut dan lebam yang teruk sehingga mati menunjukkan polis di Subang Jaya tidak melakukan tanggungjawab dengan sewajarnya, dakwa Gwo Burne.

Baginya seolah-olah polis berkuasa dalam memberi hukuman terhadap mangsa tersebut.

"Sebelum gambar-gambar kecederaan selepas bedah siasat dibuat, Khalid mengeluarkan kenyataan bahawa mangsa bunuh tersebut mati kerana kesesakan nafas dan mati selepas meminta segelas air," katanya.

Sungguhpun mangsa tersebut disoal-siasat atas mengesyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah, pihak polis sepatutnya faham atas batas tugas mereka bukannya mendera, katanya.

Kugan ditahan di Kajang pada 15 Januari lalu berhubung kes kecurian kereta. Lima hari kemudiannya, dia meninggal dunia ketika disoal siasat di Balai Polis Taipan, Subang Jaya.

Kematiannya telah mencetuskan bantahan awam menyebabkan keluarganya menangguhkan pengkebumiannya untuk melakukan bedah siasat kedua.

Keluarganya yang tidak berpuas hati dengan kematian Kugan mendakwa didera polis kerana ada banyak kesan kecederaan pada tubuhnya walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematiannya adalah akibat paru-paru berair./wann _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.