Oleh G. MANIMARAN
[ANALISIS]
"SAYA sungguh terkejut dengan corak kempen yang tidak rancak," kata Pengerusi Institut Kebangsaan Integriti Pilihan Raya (NIEI), Yunus Ali.
Badan bukan kerajaan itu memantau perjalanan pilihan raya sejak sedekad lalu berkata, suasana kempen masih jauh berbeza berbanding dengan apa yang disaksikan ketika dua pilihan raya kecil sebelum iaitu di Ijok, Selangor awal 2007 dan Permatang Pauh, Pulau Pinang Ogos lalu.
"Saya tidak sangka sama sekali... jauh berbeza berbanding Permatang Pauh," kata beliau.
Jika ramai menganggap bahawa tsunami politik 8 Mac lalu akan terus dirasai di Kuala Terengganu, tanggapan ini masih belum teruji dan menerima jawapan sehingga pagi ini - ketika kempen memasuki hari yang ke-10.
Pandangan itu bukan sahaja dilontarkan oleh Yunus, antara orang luar yang berada di Kuala Terengganu, malah penduduk tempatan pelbagai lapisan masyarakat. Mereka dapat merasai suasana yang jauh berbeza berbanding 10 bulan lalu.
Ketika ditemui, bekas calon PAS, Mohamad Sabu juga mengakui perkara itu. Bagaimanapun ceramah beliau, yang kalah kepada Allahyarham Datuk Razali Ismail 8 mac lalu, masih menerima kehadiran peminatnya.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali juga mengakui persekitaran kempen kali ini yang tidak rancak, tetapi menegaskan jentera mereka berjalan dengan baik tanpa masalah.
Malah, ada yang hairan dengan suasana semasa ketika kempen pilihan raya kecil di sini kerana persekitaran adalah lebih rancak ketika kempen pilihan raya umum lalu.
Malah ada yang mengharapkan bahawa ceramah perdana yang disaksikan di Permatang Pauh dan Ijok diadakan di sini setiap malam. Pakatan Rakyat hanya mengadakan ceramah perdana pada 6 Januari - malam selepas sesi penamaan calon.
Pakatan Rakyat dijadual mengadakan satu lagi ceramah malam ini dan Jumaat ini, kata Mohamad Sabu.
Barisan Nasional (BN) tidak mengadakan ceramah perdana kecuali perhimpunan dihadiri kira-kira 3,000 orang di sebalik hujan di Cabang Tiga, malam kelmarin. Perhimpunan itu dinamakan "Masihkah Kau Ingat" dengan ucapan perdana oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.
Presiden Dewan Perniagaan India Terengganu, V.M. Samy pula berkata, berdasarkan pengalamannya di sini sejak lebih tiga dekad, sepatutnya suasana kempen sudah panas ketika hanya tinggal empat hari sebelum pengundian Sabtu ini.
"Pada pandangan saya, suasana akan bertambah rancak, lebih panas mulai esok (hari ini)... jika pengundian pada hari Sabtu, kita boleh melihat bahawa mulai Rabu (hari ini) suasana akan semakin rancak.
"Tetapi memang menghairankan kerana sehingga kini suasana belum panas lagi," kata beliau ketika ditemui.
Mengapa? Kerana musim tengkujuh, hujan hampir setiap hari? Kerana sesi persekolahan yang baru bermula? Kerana faktor calon yang tidak dikenali ramai dan tiada isu?
Masing-masing pihak yang ditemui memberikan alasan dan kewajaran masing-masing. Mungkin juga ketiadaan poster yang cukup banyak menyumbang kepada tanggapan sedemikian?
Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian yang berkongsi suasana ini memberitahu, ia antara lain berkait rapat dengan isu yang dijadikan bahan berkempen.
Berbanding dengan Ijok dan Permatang Pauh, kata beliau, tiada isu besar lagi baru yang boleh digunakan semaksimum yang boleh oleh parti-parti yang bertanding.
"Kesemua isu adalah isu lama, yang sudah diketahui umum... jadi ceramah pun tidak panas," katanya.
Calon PAS, Mohd. Abdul Wahid Endut ketika ditanya sejauh mana kehadiran poster dan kain rentang boleh dijadikan kayu ukur berkata, "jumlah poster tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk sokongan dan undi."
Mohd. Abdul Wahid merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Wakaf Mempelam - salah satu bahagian dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
Berdasarkan jadual harian yang dikeluarkan jentera calon PAS itu, beliau mengambil bahagian dalam 20 hingga 22 aktiviti setiap hari kecuali Jumaat lalu di mana jumlahnya adalah kecil sedikit.
Tinjauan sejak hari penamaan calon mendapati poster calon itu kurang berbanding poster wajah calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang boleh dilihat dalam pelbagai saiz, bentuk dan penampilan. Poster wajah calon Bebas, Asharudin Mamat @ Adam tidak kelihatan sama sekali kecuali 'sepanduk' kecil yang dipacakkan di beberapa lokasi tertentu.
Sebuah lagi badan bukan kerajaan yang memantau perjalanan pilihan raya Mafrel dalam blognya berkata, di merata-rata tempat di Kuala Terengganu, perang kain rentang, poster dan sebagainya berjalan lancar.
"Sebenarnya kain rentang dan poster bertemakan hijau dan sesekali dihiasi oleh warna biru muda dan roket penuh di kawasan kawasan DUN. Cuma poster calon PAS itu sendiri - Mohd Abdul Wahid kurang kelihatan berbanding poster Wan Ahmad Farid.
"Ada yang meneka bahawa ini adalah strategi PAS untuk menonjolkan parti lebih daripada calon. Ini mungkin tidak berapa baik sebab pengundi mesti ingin mengetahui bandingan peribadi antara calon-calon juga," katanya.
Tinjauan pagi tadi menunjukkan PAS turut menaikkkan papan iklan kempen yang menyerang Umno dan BN. Umno dan BN juga menaikkan papan iklan dan kain rentang seumpama itu sejak beberapa hari ini. Ini sedikit sebanyak menambah kerancakan kempen.
Mungkin lebih banyak akan keluar mulai malam ini.
Wan Ahmad Farid yang tidak memberikan ceramah besar-besaran, sebagaimana diamalkan calon PKR dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, menjelaskan, suasana di Kuala Terengganu sebenarnya berlainan berbanding kawasan lain di Semenanjung dan Pantai Barat.
Malah katanya, suasana kempen di Kemaman dan Dungun berlainan berbanding di Kuala Terengganu.
"Ini keunikan di Kuala Terengganu," kata beliau yang sudah memulakan sesi pertemuan dengan penduduk tempatan sejak pertengahan bulan lalu.
Beliau lebih banyak menggunakan pendekatan menemui pengundi dengan mewujudkan pendekatan hubungan peribadi iaitu lawatan dari rumah ke rumah. Wan Ahmad Farid juga mempunyai kira-kira 10 hingga 15 aktiviti setiap hari secara langsung dan tidak langsung.
Malah, jentera pilihan raya BN juga banyak menggunakan lawatan rumah ke rumah.
Yunus dari NIEI menambah, "kedua-dua calon merupakan personaliti yang nampak bersih... jadi tiada ruang untuk serangan peribadi... hudud orang di sini (Kuala Terengganu) tidak kisah."
Pengundi Cina pula kata beliau, mengambil berat isu bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail dan kenyataan Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir tentang sekolah jenis kebangsaan.
Di sebalik tanggapan dan andaian sedemikian, baki tempoh tiga hari menjelang hari penentuan Sabtu ini memang menarik untuk dilihat. Ia sudah pasti akan merancakkan kempen dan menjadi penentu kemenangan calon yang bertanding.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.