Lanjusoh
KOTA BHARU - Kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin di Gaza sedia mati syahid dan tidak sekali-kali akan mengangkat bendera putih biar pun diserang secara rakus rejim haram Yahudi.
Mereka bersedia meneruskan jejak sebagaimana dialami al Syahid Sheikh Ahmad Yassin, Rentisi dan Said Siam, bekas menteri luar Hamas yang menjadi korban keganasan Israel.
"Kami bukan lagi menangisi rumah, sekolah, hospital dan harta benda lain yang musnah dibedil tentera Yahudi sebaliknya kemuliaan sekarang untuk menghadapi mati syahid.
"Inilah cita-cita terbaik yang ada pada setiap rakyat ketika darah masih mengalir dan api masih menyala di bumi Palestin sekarang," kata seorang pemimpin Hamas, Najis Suris Al Ghaza.
Beliau mendedahkan perkara itu pada program Solat Hajat Perdana dan Pelancaran Tabung Cakna Palestin di Stadium Sultan Mohammad Ke IV malam tadi.
Program tersebut dianjur kerajaan negeri, dihadiri lebih 10,000 rakyat Kelantan pelbagai kaum. Mereka senada mengutuk keras keganasan tentera Yahudi ke atas umat Islam di Palestin sekarang.
Najis berkata, umat Islam di Gaza sejak dahulu lagi yakin dengan janji Allah bagi memberi kemenangan kepada Islam dengan syarat umat menolong agamaNya.
Kata beliau pembunuhan ke atas umat Islam di Palestin oleh tentera Yahudi bukan perkara baru, malah ia berlaku sejak 1948 lagi apabila Israel menceroboh bumi Palestin.
Menurutnya rentetan keganasan Yahudi dapat dilihat di Sabra dan Satila pada 1984 apabila ramai umat Islam mati dibunuh dengan kejam.
"Jangan mengharapkan Israel akan berdamai dengan umat Islam kerana ia tidak menjadi matlamat bagi mereka. Malah pemimpin Yahudi akan dianggap wira oleh rakyatnya apabila dapat melancarkan serangan ke atas umat Islam di Palestin.
"Pemimpin yang berjaya mencetuskan peperangan akan dipuji rakyat Israel. Bagaimanapun mereka lupa kekuatan sebenar hanya dimiliki Allah Taala," katanya.
Katanya juga Hamas di bawah Perdana Menteri, Ismail Haniyah akan terus bersama rakyat bagi menghadapi serangan Israel.
Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, derma yang dikutip malam tadi akan digunakan bagi membantu rakyat Palestin sama ada bantuan ubat, makanan atau apa sahaja keperluan lain.
Menurutnya program pelancaran Tabung Cakna Palestin diadakan bagi menggambarkan perkongsian penderitaan rakyat Kelantan tanpa mengira warna kulit dan agama terhadap umat Islam di Palestin.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairuz Khairuddin berkata, sudah banyak resolusi yang dibuat di peringkat antarabangsa bagi mengutuk kekejaman Yahudi, namun mereka tidak pernah menghiraukannya.
Oleh itu katanya Malaysia sebagai anggota Persidangan Negara Islam (OIC) perlu melakukan sesuatu termasuk menyerahkan desakan bertulis kepada Setiausaha Agong Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Beliau juga mendesak resolusi yang diputus pada persidangan khas parlimen Malaysia bagi mengutuk kekejaman Israel baru-baru ini turut dihantar kepada Parlimen Kesatuan Eropah dan lain-lain pertubuhan peringkat antarabangsa.
"Namun berdasar kepada pengalaman lepas sebarang resolusi tidak pernah dihiraukan Yahudi, maka OIC perlu bertindak segera bagi menghantar pasukan pengaman ke Palestin.
"Persoalannya adakah OIC mampu menghantar pengaman seperti yang pernah dilakukan di Bosnia Hergovina sebelum ini," katanya.
Beliau juga berharap rakyat Malaysia kosisten memboikot produk yang ada kaitan dengan Amerika Syarikat dan Israel sebagai mengajar keangkuhan mereka.
Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua berharap Malaysia mengiktirafkan kerajaan Hamas di Palestin kerana parti itu telah memenangi pilihan raya yang diadakan beberapa tahun lalu.
Selain itu beliau meminta kerajaan mengambil langkah tegas termasuk memutuskan kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat.
Ini kerana kata beliau negara kuasa besar itu berhasrat menguasai sepenuhnya bumi Palestin melalui tindakan kroninya Israel.
Pada akhir program itu pelbagai agensi kerajaan tampil mengisi Tabung Cakna Palestin.
Kerajaan negeri melalui Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri Alias menyumbang sebanyak RM500,000.
Lebih RM1 juta berjaya dipunggut malam tadi. - mj _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.