Ahad, 25 Januari 2009

1,330 penduduk Gaza maut, Obama mahu 'sekat' Hamas

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dilaporkan meminta bantuan pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah supaya menyekat kegiatan menyeludup senjata ke Gaza selain menekankan pentingnya hubungan Washington dan Riyadh dalam perbualan telefon pertama dengan pemerintah Arab itu.

Dalam panggilan kepada Abdullah, Obama juga menyatakan penghargaannya atas usaha pemimpin Arab Saudi itu kerana menyokong dialog antara agama serta inisiatif damai di Asia Barat.

"Beliau meminta sokongan Arab Saudi dalam usaha menamatkan penyeludupan senjata ke Gaza serta menyatakan minat meneruskan kerjasama antikeganasan," menurut kenyataan Rumah Putih.

Obama menelefon Abdullah selepas penyiaran satu artikel oleh Putera Turki al-Faisal, bekas ketua perisikan Arab Saudi dan duta ke Amerika, sebagai memberi amaran kepada Presiden Amerika itu bahawa hubungan dua negara berkenaan semakin berisiko kerana pendirian Washington dalam konflik Israel, Palestin.

Dalam artikel yang disiarkan laman web Financial Times, Turki dipetik sebagai berkata, bekas Presiden Amerika, George W Bush meninggalkan 'kesakitan mendalam' di rantau Asia Barat.

"Jika Amerika mahu terus memegang peranan sebagai pemimpin di Asia Barat dan mengekalkan kerjasama strategik khususnya hubungan dengan Riyadh," kata Turki menurut agensi berita.

Israel melancarkan serangan selama 22 hari ke atas pergerakan Hamas di Gaza awal bulan ini menyebabkan 1,330 penduduk Palestin maut dan 5,300 lagi cedera.

Obama yang memulakan tugas sebagai Presiden pada Selasa lalu, menamakan bekas Senator George Mitchell sebagai utusan khas nya ke Asia Barat dan berikrar agresif mengejar keamanan di rantau itu.

Hamas pula menyifatkan dasar Obama tidak berbeza berbanding Bush manakala pegawai Israel meramalkan pentadbiran baru Amerika akan terus menjauhkan diri daripada Hamas. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.