Isnin, 22 Disember 2008

'Tidak adil kata saya tidak layak'

MALAYSIA KINI


Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menangkis dakwaan bahawa beliau tidak layak bertanding atas tiket BN dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu, bermula 6 Januari ini.

"Kenali saya dulu sebelum hukum saya kerana adalah tidak adil seseorang calon itu dilabel 'tidak layak' sebelum diberi peluang membuktikan kemampuan mereka," katanya kepada Bernama, mengulas desas-desus timbalan menteri itu bukanlah calon terbaik BN untuk kerusi itu kerana kurang mendapat sokongan akar umbi

"Tidak adil untuk berkata begitu sekiranya yang berkata itu tidak betul-betul kenal saya."

"Saya sudah lama berkecimpung dalam politik, sudah berbelas-belas tahun.

"Kalau tidak mempunyai kekuatan akar umbi, saya rasa sukar untuk saya berada di tempat saya sekarang," katanya, yang juga ketua bahagian Umno Kuala Terengganu.

"Sebab itulah saya nak turun ke akar umbi, berjumpa sendiri dan minta diberi peluang untuk saya buktikan saya juga boleh jadi wakil rakyat yang efektif sebagaimana allahyarham (Datuk Razali Ismail)," senator itu dipetik berkata.

Lapor agensi berita itu lagi, Wan Ahmad Farid turut menepis dakwaan beliau seorang "pemimpin yang sukar didekati rakyat" dan menyifatkannya sebagai perang saraf yang dibuat pembangkang.

"Saya tahu ada yang kata saya sombong, dari golongan bangsawan, tak turun ke bawah, tak bertegur sapa.

"Biasanya, bila seseorang itu sudah dinamakan sebagai calon, dia akan diserang secara peribadi.

"Tapi, bila saya jumpa sendiri dengan rakyat, ini semua akan dapat dihakis," katanya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan timbalan menteri dalam negeri akan berdepan jalan sukar kerana keluarganya, termasuk abangnya yang juga naib ketua Umno bahagian Datuk Wan Hisham, tidak disenangi oleh penyokong Umno.

Wan Ahmad Farid juga dikatakan tidak dapat mengawal barisan kepemimpinan Umno Kuala Terengganu kecuali beberapa orang yang rapat dengannya, termasuk timbalan ketua bahagian Mohd Sabri Alwi.

Bagaimanapun ada juga pemimpin-pemimpin Umno bahagian yang menyifatkan beliau calon terbaik BN untuk menghadapi saingan musuh tradisinya PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.