Rabu, 17 Disember 2008

AKIM tak serik, nak berentap lagi di KT

klpos.com


Kota Bharu : Biar pun hilang wang deposit pada pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu, namun Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) tidak serik dan berminat bertanding pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak lama lagi.

Presidennya, Hanafi Mamat berkata, AKIM yakin mendapat sokongan rakyat berdasar prinsip perjuangan membela nasib orang Melayu.

"Kami akan bertanding dan yakin dengan perjuangan kami. Semangat kami tidak pernah patah walaupun pernah tewas pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sebelum ini," katanya ketika ditemui di sini.

AKIM ditubuh pada 1995 dikatakan mempunyai lebih 10,000 ahli.

Hanafi mendakwa Akim mendapat sokongan di kalangan tahfiz dan tabligh di Terengganu.

Menurutnya Akim akan mengadakan mesyuarat membincangkan penyertaan dalam pilihan raya di Kuala Terengganu dalam masa terdekat.

"Mesyuarat itu akan membincang soal calon dan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihanraya kecil tersebut.

"Pada dasarnya calon yang akan kita ketengahkan ialah di kalangan penduduk tempatan," katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan PAS Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat menyifatkan penyertaan lain-lain parti seperti Akim dan Bebas sebagai satu perkembangan baru politik tanah air.

Katanya kemunculan mereka pada hakikatnya bukan menentang PAS atau Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya melawan Umno.

"Ini membuktikan Umno tidak lagi relevan kepada rakyat kerana banyak golongan mulai bangkit menentang perjuangannya. Dan pemimpin Umno harus faham hakikat ini," kata Zainuddin.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan 17 Januari depan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Razali Ismail.

Pada pilihan raya tersebut Razali menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi dan calon Bebas, Maimun Yusof pula mendapat 685 undi.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia ketika bermain badminton di Genting Highlands. / Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.