Rabu, 19 November 2008

Tambang bas naik kerana kos operasi meningkat, kata Menteri

Anis Nazri


KUALA LUMPUR - Kadar tambang bas ekspres kemungkinan akan dinaikkan pada tahun hadapan memandangkan kos operasi syarikat-syarikat bas terbabit semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Biarpun harga minyak sudah turun di pasaran, kenaikan harga tambang itu tiada kena-mengena dengan fenomena harga minyak pasaran, kerana ia lebih berdasarkan kos operasi seperti harga tayar, bateri dan insurans.

Demikian dimaklumkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato' Noh Omar, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kenaikan harga tambang bas terbabit mungkin tidak dapat dielakkan memandangkan kali terakhir kerajaan menyemak kadar harga tambang adalah pada tahun 2005.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan tambahan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mengenai hasrat kerajaan menurunkan harga tambang bas ekspres memandangkan harga minyak di pasaran dunia telah menurun.

"Kita melihat dari pelbagai sudut, di mana kerajaan tidak mahu membebankan pengguna. Dalam masa sama, kerajaan juga perlu mengambil kira masalah pengusaha bas yang menanggung kos operasi agar mereka tidak mengalami kerugian atau menanggung hutang, yang kesannya akan menyusahkan pengguna juga," kata Noh Omar.

Sebelum itu, dalam soalan asal yang dibangkitkan Abdul Aziz Abd Kadir (KeADILan-Ketereh), beliau meminta kementerian terbabit menyatakan jumlah trip purata mingguan bas ekspres antara Kota Bharu-Kuala Lumpur dan jumlah saman yang dikeluarkan kepada pemandu bas ekspres bagi laluan sama.

Menjawab soalan tersebut, Noh berkata sebanyak sembilan syarikat bas yang beroperasi dengan 157 bas, dengan nisbah purata 1:30 trip bas seminggu.

"Bagaimanapun jumlah trip bas ini bergantung kepada jumlah penumpang yang menaiki bas. Sekiranya jumlah penumpang sedikit, trip mereka akan dikurangkan kerana terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi," tegas beliau.

Manakala, berkenaan saman, Noh berkata kementeriannya tidak mempunyai maklumat kerana saman LPKP hanya pada kesalahan syarat lesen, dan tidak berkaitan dengan sikap pemandu.

Namun, katanya berdasarkan rekod saman yang dikeluarkan oleh PDRM dan JPJ, sebanyak 9664 saman dikeluarkan pada 2005, 9,223 (2006), 15,817 (2007) dan 8,067 (Januari hingga Ogos 2008).

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa talian hotline yang tertera di belakang kenderaan awam dan berat masih berfungsi seperti biasa dan kementerian akan mengambil tindakan serta-merta sekiranya mendapat aduan atau memberi surat tunjuk sebab kepada kenderaan yang terbabit. - mns_

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.