Rabu, 19 November 2008

Empat bahagian Wanita UMNO Sabah beralih sokong Shahrizat

UTUSAN ONLINE


KOTA KINABALU – Empat bahagian Pergerakan Wanita UMNO yang mencalonkan Tan Sri Rafidah Aziz bagi jawatan Ketua Wanita UMNO pada persidangan baru-baru ini, kini mengalih sokongan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Berikutan keputusan itu, sehingga hari ini sebanyak 18 daripada 25 bahagian di Sabah memutuskan menyokong agar Shahrizat diberi peluang bagi mengambil alih jawatan Ketua Wanita pada pemilihan Mac depan.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin berkata, keempat-empat bahagian tersebut ialah Keningau, Kimanis, Tuaran dan Semporna.

``Sebelum ini pada persidangan Wanita di seluruh Sabah, sebanyak 14 bahagian mencalonkan Shahrizat sebagai Ketua Wanita yang secara jelas menggambarkan mereka tidak setuju dengan peralihan jawatan pada Jun.

``Hari ini, kita menerima pendirian empat bahagian Wanita yang sebelum ini mencalonkan Rafidah dan mereka kini melahirkan sokongan terbuka kepada Shahrizat untuk bertanding jawatan Ketua Wanita,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Armani berkata, Ketua Pergerakan Wanita bahagian yang menyatakan komitmen ialah Amelia Anjun (Keningau), Maznah Ghani (Kimanis), Jamaliah Antaup (Tuaran) dan Manis Muka Mohd. Dara (Semporna).

Menurutnya, sokongan itu bukan bermakna Wanita Sabah ingin melihat pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Wanita tetapi sekadar melahirkan hasrat supaya peralihan dapat dilaksanakan sama dengan peralihan kepimpinan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak. - Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.