Muda Mohd Noor
Tan Sri Rafidah Aziz hari ini kecewa kerana pelan peralihan kuasa Wanita Umno diketepikan selepas tiga bulan ia diumumkan, dan naibnya sendiri sanggup mencabarnya walaupun berjanji enggan berbuat demikian.
Tambahnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang bersetia ingin mendukung pelan itu sendiri sanggup mengubah pendirian apabila mendapat cukup pencalonan untuk jawatan teratas pergerakan itu.
"Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan, maka pasti exco (Wanita) akan membatalkan sahaja pelan itu.
"Dan saya tidak ragu-ragu akan membiarkan bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan ketua dan naib ketua," katanya.
"Tetapi 'bantahan' ditimbulkan selepas mereka telah mendapat cukup pencalonan untuk bertanding, maka baru membantah, dengan berbagai alasan yang sebenarnya tidak berasas."
Dalam kenyataan bertulisan tangan setebal 10 halaman, ketua Wanita Umno turut mengumumkan untuk mempertahankan jawatan pada pemilihan parti Mac depan bagi penggal penuh 2009-2011 sebagai menyahut cabaran Shahrizat yang tidak lagi menghormati pelan peralihan kuasa yang diputuskan Ogos lepas.
"Sekarang kerana pelan peralihan telah diengkari dan jawatan ketua akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan jawatan yang saya sandang sekarang ini," katanya.
"Saya dengan ini akan mempertahankan jawatan ketua yang saya sandang sekarang, dan insya Allah, akan bertanding untuk jawatan tersebut untuk tempoh 2009-2011."
Rafidah telah menerajui Wanita Umno sejak 1984, melainkan untuk satu penggal ekoran kekalahannya kepada Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman.
Beliau yang memenangi semula jawatan itu daripada Siti Zaharah pada pemilihan 2000, buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lalu.
Berikut kenyataan penuh Rafidah:
Memandang bahawa Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Dato Sri Shahrizat telah membuat kenyatan akhbar untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO, maka saya dengan ini:
1) Akan mempertahankan jawatan Ketua yang saya sandang sekarang, dan InsyaAllah, akan bertanding untuk jawatan tersebut untuk tempoh 2009-2011.
2) Saya menghargai dan menghormati pencalonan yang telah saya terima dari 117 bahagian itu.
3) Saya memulangkan kepada para perwakilan yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu.
Saya kecewa kerana pelan peralihantelah dipertikai, dan ditolak, lebih 3 bulan selepas saya mengumumkannya pada bulan Ogos (4 haribulan) 2008.
Semenjak tarikh itu tidak siapa dalam Exco, atau di luar, yang telah Mempertikaikannya.
Bahkan Dato Sri Shahrizat sendiri, sama ada antara 4 mata, dalam Exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan:
a) Beliau tidak akan bertanding jawatan ketua walaupun dicalonkan.
b) Beliau patuh kepada pelan peralihan.
c) Beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti.
d) Bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikota" dan "my word is my honour". (Semuanya telah disiarkan dalam media).
Saya tidak ada sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan selepas proses pencalonan selesai.
Jika dalam mana-mana perbincangan ada mana-mana pihak yang tidak setuju, dengan pelan peralihan, maka sebagai pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab, wajar dibangkitkan, dan dibantah.
Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan, maka pasti Exco akan membatalkan sahaja pelan itu.
Dan saya tidak ragu-ragu akan membiarkan bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan ketua dan naib ketua.
Tetapi "bantahan" ditimbulkan selepas mereka telah mendapat cukup pencalonan untuk bertanding, maka baru membantah, dengan berbagai alasan yang sebenarnya tidak berasas.
Ada pula pihak-pihak yang "mahukan pelan peralihan dipercepatkan" dari Jun ke Mac 2009.
Ini tidak logik. Jika dibuat pada bulan Mac, ia bererti:
a) Tidak ada lagi "pelan peralihan" yang pada asasnya, melibatkan satu jangka masa antara perhimpunan agung dengan tarikh penyerahan jawatan. Semua mengetahui bahawa pada asalnya, jangka masa itu ialah antara Januari hingga June 2009, kerana perhimpunan agung dijadualkan pada Disember 2008. Ia telah dianjak kepada Mac - tetapi pelan peralihan tidak terjejas.
b) Jika "dipercepatkan" kepada Mac, ia juga bererti bahawa saya dipaksa menyerahkan jawatan ketua secara bulat-bulat, dengan Shahrizat menang tanpa bertanding.
Ini menidakkan hak dan kemahuan 117 bahagian yang telah mencalonkan saya untuk pegang jawatan hingga Jun 2009.
Sekarang kerana pelan peralihan telah diengkari dan jawatan ketua akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan jawatan yang saya sandang sekarang ini.
Saya ingin menyarankan supaya pertandingan semua jawatan-jawatan dalam pergerakan Wanita Umno hendaklah dijalankan dengan tertib, beradab, ikhlas dan jangan sekali-kali menjejaskan sesiap, atau menjejaskan parti.
Jangan sekali-kali mengada-adakan dan menabur fitnah dan bohongan atau membawa pecah belah. Allah SWT menentukan segala-galanya. Tidak ada yang lebih besar daripada kuasa Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.