Jumaat, 21 November 2008

Penulis blog Kickdefella disambung jaminan polis kali kedua

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang ditahan mengikut Akta Hasutan, disambung sebulan lagi jaminan polis terhadapnya hingga penghujung tahun ini.

Beliau sebelum ini pernah membuat cadangan di laman blognya supaya bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Lanjutan jaminan polis itu adalah yang kedua selepas beliau dibebaskan pada 20 September lalu.

Syed Azidi, 38, dimaklumkan mengenai perkara tersebut setelah hadir di Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi bagi mendapatkan perkembangan terbaru tindakan polis terhadapnya.

"Saya hadir hari ini bagi mendapatkan perkembangan mengenai kes saya, bagaimanapun pegawai penyiasat yang menguruskan kes saya sebelum ini telah ditukarkan.

"Jadi tadi pegawai penyiasat DSP Mahfuz Abdul Majid memaklumkan bahawa jaminan terhadap saya disambung sebulan lagi," katanya ketika menghubungi mStar Online.

Beliau perlu hadir melapor diri pada 21 Disember depan.

Syed Azidi yang hadir bersama keluarga bagaimanapun yakin bahawa tiada kes kes terhadapnya berikutan perkembangan semasa.

"Ini kali kedua lanjutan jaminan polis, jadi saya rasakan bahawa sebenarnya tiada kes untuk mereka ambil tindakan terhadap saya.

'Mungkin sekadar nak selamatkan orang-orang tertentu," katanya.

Pada 17 Oktober lalu, beliau hadir di jabatan yang sama namun dimaklumkan bahawa jaminan polis disambung sehingga 21 November (hari ini).

Syed Azidi ditahan di rumahnya di Demit, Kota Bharu, Kelantan pada 17 September lalu.

Beliau telah ditahan reman empat hari tiga malam di Bukit Aman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.