Bebaskan konsep merdeka dari pemikiran lama...
Malaysiakini
Konsep kemerdekaan negara pada masa ini tidak seharusnya dikongkong oleh pemikiran yang lama, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Ia bermaksud, daya pemikiran kita dalam alaf ini perlu mencapai tahap yang mampu bersaing, terutama dalam dunia globalisasi masakini," katanya dalam perutusan ulang tahun kemerdekaan ke-51.
Katanya, rakyat seharusnya diberi kebebasan untuk menyuarakan perasaan, pendapat, pemikiran dan kritikan.
Dalam hal ini, tambahnya, pendidikan yang sempurna harus diberi kepada rakyat supaya generasi mendatang, mampu memperlihatkan daya fikiran yang kritis dan inovatif dalam usaha mereka memacu pembangunan.
"Konsep ketelusan, keadilan dan kebertanggungjawaban untuk semua perlu diamalkan supaya kesejahteraan ekonomi dan masyarakat di Selangor dapat dibebaskan daripada golongan tertentu semata-mata.
"Inilah konteks kemerdekaan untuk rakyat yang sebenarnya yang perlu dicapai pada masa kini dan masa mendatang," tambahnya.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sedang berusaha membebaskan rakyat, yang selama 50 tahun, dikatakan hidup dalam cengkaman pihak tertentu yang berkepentingan.
Tahun ini, kata Abdul Khalid, menyaksikan pembaharuan di negeri Selangor, khususnya, yang merupakan lumrah bagi sebuah negara dan masyarakat yang semakin matang.
"Era perubahan ini membuka lembaran baru kepada kerajaan negeri untuk memikul tanggungjawab dalam hal memastikan kebajikan rakyat diutamakan dan ekonomi Selangor terus dibangunkan secara berancang untuk dinikmati semua kaum yang tinggal di Selangor.
"Agenda 'Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)" merupaka program utama barisan kepimpinan negeri Pakatan Rakyat dalam konteks mengutamakan kebajikan sebagai antara pelbagai bentuk nikmat kemerdekaan bagi rakyat Selangor," tegas Abdul Khalid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.