POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai ‘pakar’ membuat senjata api buatan sendiri dalam satu serbuan di Kampung Pansong, Beaufort, semalam.
Suspek berusia 57 tahun itu ditahan dalam operasi pada 2.30 petang bersama selaras senapang jenis bakakuk dan beberapa lagi peralatan membuat senjata api, yang turut dirampas polis.
Ketua Polis Beaufort Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, operasi dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
“Sejurus ditahan, suspek mengaku menyimpan senjata api dan peralatan membuat senjata api di rumahnya,” kata Yusoff Zaki, menurut laporan Berita Harian.
Suspek dibawa ke IPD Beaufort untuk siasatan lanjut, dan polis akan memohon dia direman mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, tambahnya.
Sebelum ini, kecoh di Sabah mengenai dakwaan sekumpulan lelaki bersenjata warga asing menyusup masuk ke Lahad Datu melalui perairan Long Patau, Tambisan.
Bagaimanapun, siasatan dan risikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah serta Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mendapati tiada petunjuk menunjukkan kejadian itu berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.