JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang bermesyuarat hari mencapai persetujuan untuk menggariskan lapan langkah strategik menambah baik pengurusan bencana negara yang telah dibentangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan menekankan langkah dan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilakukan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri supaya bencana banjir tidak memberikan impak besar kepada negara dan rakyat.
“Peruntukan untuk penyelesaian secara komprehensif ini memerlukan peruntukan yang besar melibatkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang.
“Oleh itu, mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mesyuarat di Putrajaya itu turut dihadiri Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri,
Menteri
dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas),
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Panglima Angkatan Tentera (PAT), Ketua
Polis Negara (KPN), Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara
(NADMA), Ketua-Ketua Setiausaha
Kementerian dan Ketua Pengarah Agensi-agensi yang berkaitan.
Menurut Perdana Menteri, lapan langkah yang digariskan NADMA itu ialah:
i. Pemerkasaan Dasar, Perundangan dan Mekanisme Berkaitan Pengurusan Bencana & Pengurangan Risiko Bencana (DRR)
ii. Penekanan Terhadap Inisiatif DRR
iii. Penyediaan Dana untuk Pengurusan Bencana dan DRR
iv. Pengukuhan Mekanisme Koordinasi dan Kompetensi Stakeholders Pengurusan Bencana
v. Penambahbaikan Sistem dan Penyampaian Maklumat di dalam Pengurusan Bencana dan DRR
vi. Pemerkasaan Dasar dan Mekanisma Koordinasi Bantuan NGO dan Sukarelawan
vii. Peningkatan Kemahiran di dalam Komunikasi Krisis dan Komunikasi Strategik
viii.Peningkatan Kapasiti Komuniti Setempat dan Tumpuan Terhadap “Localization” di dalam Pengurusan dan DRR.
Kata Ismail Sabri, perluasan dasar DRR di peringkat negeri dan daerah dapat memastikan pengurusan bencana banjir dapat dipertingkatkan berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori daftar risiko secara sistematik.
“Kementerian dan Agensi juga turut disaran untuk membuat penetapan sebanyak lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan datang.
“Ini penting bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana, pemulihan dan pasca bencana serta pencegahan dan mitigasi risiko bencana,” jelasnya.
Sementara itu, maklum Perdana Menteri, kerajaan sedar akan perubahan iklim yang turut menjadi salah satu faktor kepada bencana banjir di negara ini.
Dalam hubungan ini, katanya, pewujudan subjek utama dalam menangani bencana di pelbagai peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti akan dilaksanakan agar seluruh Keluarga Malaysia dapat mengadaptasi perkara ini sebagai norma baharu.
“Mesyuarat juga bersetuju dengan penekanan terhadap konsep ‘whole of society approach’ yang perlu diterjemahkan dalam dasar, pengoperasian dan latih amal bencana dengan penglibatan bersama agensi kerajaan dan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO).
“Pada masa yang sama, pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan dipertingkatkan melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai initial responder. Mereka akan dibekalkan dengan kelengkapan asas dan bantuan untuk melaksanakan tindakan awal,” ujarnya.
Selain itu, kata Perdana Menteri, mesyuarat secara dasarnya turut bersetuju dengan cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menyelesaikan masalah banjir.
Antara langkah itu kata Ismail Sabri, mengenal pasti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetap dan melengkapkannya dengan kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas bagi mangsa banjir seperti tilam, dan khemah.
Ujarnya, bagi sekolah berasrama yang dijadikan sebagai PPS, kawasan asrama akan dijadikan kawasan penempatan mangsa banjir.
Langkah-langkah lain yang diumumkan beliau ialah pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diberikan tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan dalam keadaan baik.
Turut dipersetujui ialah menaik taraf, mendalamkan dan melebarkan sungai-sungai utama, meninggikan benteng dan ban sungai serta parit serta membina lebih banyak tebatan banjir dan membina empangan dan stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air.
Cadangan lain yang dipersetujui ialah membina terowong SMART terutama
di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Shah
Alam, membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge
city’ di China serta mewujudkan takungan air atau ‘kota takungan pinggir
sungai’ seperti di Belanda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.