Jumaat, 28 Januari 2022

Wan Azizah dipanggil ke Bukit Aman berhubung memoir Tommy Thomas

 BERNAMA

Wan Azizah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung penerbitan buku bertajuk 'My Story: Justice in the Wilderness' ditulis bekas peguam negara.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipanggil ke ibu pejabat polis Bukit Aman pada pukul 3 petang ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata Wan Azizah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan penerbitan buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” ditulis bekas peguam negara Tommy Thomas.

“Ini adalah prosedur biasa dalam sesuatu siasatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini media melaporkan pasukan petugas khas siasatan ke atas dakwaan Tommy dalam bukunya itu, mengadakan mesyuarat pertama di ibu negara, pada 23 Disember lepas.

Pasukan khas itu ditubuhkan bagi membuat siasatan awal berhubung beberapa dakwaan yang ditulis dalam buku itu termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih.

Tommy menerbitkan buku berkenaan pada awal tahun tahun lalu, namun menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak antaranya Jabatan Peguam Negara, peguam, ahli politik dan orang awam kerana dikatakan mengandungi unsur hasutan, penghinaan serta fitnah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.