Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik berpendapat UMNO telah kembali dirasuk sifat asal mereka yang tamakkan kuasa dan rakus terhadap kerusi pilihan raya, serta tidak insaf terhadap kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
“Pada saya UMNO boleh dipapah dan dibantu untuk kuat tetapi tidak boleh dirawat sehingga menjadi terlalu kuat kerana bila merasa terlalu kuat UMNO akan mula lupa dan hilang keinsafannya.
“Apa yang saya bayangkan itu ternyata benar. Itulah yang sedang berlaku kepada UMNO sekarang. UMNO dah rasa terlalu sihat sebelum rawatan selesai. UMNO dah rasa sangat kuat,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Mokhtar berkata keghairahan UMNO semakin memuncak selepas berjaya menukar Perdana Menteri daripada Bersatu kepada UMNO, disusuli dengan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dan kini cuba menguasai Johor.
Menurutnya kini sudah kedengaran suara UMNO Kelantan dan Johor menolak kerjasama dengan PAS.
“UMNO sudah semacam kembali dirasuk sifat asal mereka iaitu tamakkan kuasa dan rakuskan kerusi. UMNO sudah lupa sama sekali dengan kemenangan yang mereka peroleh dalam Pilihan Raya Kecil sebelum ini hasil bantuan dan pertolongan PAS.
“Namun kelihatannya tiada pawang lagi yang mampu merawat UMNO selain sebuah kekalahan,” katanya sambil mengulangi peringatan supaya UMNO, PAS dan Bersatu bergabung bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak kembali berkuasa.
Katanya tidak salah jika UMNO diberikan lebih kerusi berbanding PAS dan Bersatu kerana hakikatnya ahli UMNO lebih ramai daripada PAS dan Bersatu, tetapi lebihan kerusi itu jangan sampai parti berkenaan mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa dua lagi parti.
Sehubungan itu, Mokhtar berkata UMNO perlu sedar bahawa parti itu sudah tidak sama seperti diketuai pemimpin terdahulu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak.
“Tetapi sekarang UMNO zaman Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (adalah) zaman ahli dah tak dengar kata presiden. Zaman UMNO dah bermazhab-mazhab.
“Zaman UMNO dah banyak kluster-klusternya. Hakikatnya UMNO belum sihat dari tumbukan TKO PRU 14 yang lalu. Pendarahan dalaman masih parah bahkan semakin parah.
“Tiada pilihan bagi UMNO selain menguatkan barisan UMNO+PAS + Bersatu. Tapi dengan syarat jangan nak jadi Abang Long. Setakat jadi Abang Ngah boleh. Belajar tawadhuk dan setiakawan. Insya-Allah gabungan ini akan kuat demi agama, bangsa dan negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.