Selasa, 18 Januari 2022

Ujian lesen memandu guna e-Testing bermula April ini

 Ainul Illia

Pegawai penguji JPJ akan pantau dari bilik kawalan

PUTRAJAYA – Mereka yang berhasrat mengambil lesen memandu mulai April boleh berbuat demikian melalui ujian memandu automatik atau ‘e-Testing’, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim.

Beliau berkata, sistem pengujian lesen memandu secara automasi kini sedang menjalani ujian dan dijangka dilancarkan pada April.

“Mereka yang mengambil ujian memandu melalui sistem akan mendapat keputusan mereka dengan segera kerana ujian akan dijalankan secara langsung.

“Ini akan mempercepatkan proses dengan lebih baik berbanding tempoh menunggu dua minggu sebelum keputusan ujian,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, sistem itu juga akan membantu mengurangkan keperluan kakitangan JPJ untuk hadir pada ujian memandu.

“Pada masa ini, enam hingga tujuh pegawai JPJ diperlukan untuk menilai pemandu apabila mereka mengambil ujian memandu.

“Dengan e-Testing, kita akan mengurangkan ini kepada dua atau tiga pegawai. Ini akan membolehkan jabatan itu menggunakan tenaga tambahan untuk penguatkuasaan dan kerja-kerja lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Zailani berkata, ujian memandu sistem e-Testing ini perlu melalui enam peringkat iaitu belajar dalam kelas, litar dan jalan raya.

Katanya, pegawai penguji JPJ akan memantau dari bilik kawalan, manakala calon yang diuji berada bersendirian dalam kereta.

“Mereka yang diuji perlu melaksanakan tugas seperti meletak kenderaan, memandu menaiki bukit dan membuat pusingan tiga penjuru, tetapi melalui simulasi,” katanya.

Sistem itu akan dilaksanakan secara beransur-ansur dengan 232 sekolah memandu di seluruh negara boleh mendapatkan aplikasi e-Testing daripada penyedia perkhidmatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.