Rabu, 19 Januari 2022

Trend unboxing isteri bukan budaya Islam


Trend ‘Unboxing by Husband’ nampaknya telah menular dalam masyarakat.

Siapa sangka perkataan ‘unboxing’ yang sebelum ini digunakan untuk hastage membuka kotak atau bungkusan kini menjadi trend apabila digunakan oleh pengantin baru dengan hastage ‘unboxing pengantin by husband’ atau ‘unboxing pengantin.

Tular beberapa hari lalu  menerusi perkongsian pengguna di laman TikTok, ia seakan trend yang menjadi ikutan dalam kalangan wargamaya. Video yang dimuat naik memaparkan aksi pengantin lelaki membantu pengantin perempuan membuka tudung dengan menanggalkan aksesori bahagian kepala. Masih berpakaian pengantin, aksi itu dirakam menerusi cermin oleh pengantin perempuan.

Menurut pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Ahmad Sanusi Azmi, upacara ini adalah bercanggah dengan prinsip Islam secara asasnya.

“Rasulullah memerintahkan para suami agar memelihara kehormatan dan penampilan para isteri sekalipun di hadapan seorang lelaki yang buta.

“Perhatikan bagaimana Rasulullah memerintahkan isteri Baginda agar memakai hijab sekalipun di hadapan seorang yang buta. Saranan ini diucapkan kepada Saidatina Ummu Salamah dan Saidatina Maimunah apabila datang seorang buta ke rumah Baginda.

“Hendaklah kamu berdua memakai hijab.” Lalu isteri Baginda berkata: “Bukankah dia seorang yang buta wahai Rasulullah? Dan dia tidak boleh melihat kami.” Lalu Rasulullah menjelaskan: Bukankah kamu berdua boleh melihat dia? (HR al-Tirmizi),” ujarnya.

Tambah beliau, perkara yang lebih membimbangkan sekiranya video upacara sebegini menjadi perhatian kepada anak-anak muda yang masih bersekolah sehingga mereka terkeliru dalam merasakan perbuatan tersebut boleh dipraktikkan yang berpotensi menjadi budaya.

“Perbuatan tersebut diikuti pula oleh pasangan suami isteri lain yang turut mendedahkan aksi mesra mereka. Bukankah kita tidak mahu menjadi pencetus kepada kemungkaran. Sabda Rasulullah:

“Dan barang siapa yang melakukan perlakuan jahat di dalam Islam, sehingga diikuti oleh orang lain, maka dia beroleh dosa dan menanggung dosa mereka yang melakukan perbuatan tersebut.” (HR Muslim).

“Malah, istilah “unboxing” ini juga tidak layak untuk digunakan pada isteri yang bukan material atau barangan semata-mata. Nasihat ini hanyalah berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah demi kebaikan sesama muslim,” kata beliau.

Dalam pada itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) melalui laman Facebook rasmi memuat naik ulasan pendek mengenai isu ini agar dapat memberi penjelasan kepada masyarakat. Menurut JAIPK, perbuatan ‘unboxing’ isteri ini perlu dijauhkan kerana para suami wajib memelihara serta melindungi kehormatan dan maruah diri mahupun isteri.

Jelas JAIPK, larangan terhadap perbuatan ‘unboxing’ isteri ini adalah berdasarkan kaedah sadd al-zarai’ iaitu menutup punca keburukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.