Khamis, 27 Januari 2022

Tiada keperluan pindah Orang Asli terkesan ancaman harimau, kata TMB Kelantan

BERNAMA

Menurut Mohd Amar, berdasarkan pengalaman sebelum ini kebanyakan Orang Asli tidak mahu pindah ke tempat lain kerana mahu kekal di kampung mereka.

Tiada keperluan setakat ini untuk memindahkan Orang Asli di Gua Musang yang terkesan dengan ancaman harimau belang sejak Disember lepas, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata kerajaan negeri yakin perkara itu dapat diselesaikan menerusi pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.

“Isu harimau ini di bawah Perhilitan, kita sedang berusaha menyelesaikannya dan setakat ini kita tidak menerima maklumat harimau masuk ke dalam perkampungan Orang Asli.

“Kalau kita nak pindahkan mereka (Orang Asli), mengikut pengalaman sebelum ini kebanyakannya tidak mahu pindah ke tempat lain kerana mahu kekal di kampung mereka sahaja. Oleh itu, kita nasihatkan supaya mereka tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kemeriahan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau belang pada 7 Januari lalu.

Jumaat lepas, penduduk di Pos Ber pula berdepan kebimbangan sama apabila harimau belang dilihat berkeliaran di kawasan itu.

Sementara itu, ketika ditanya dakwaan segelintir pihak bahawa haiwan liar tersebut berkeliaran di penempatan Orang Asli disebabkan pembalakan haram, Amar berkata pihaknya mengakui berlaku pembalakan haram di Hutan Simpan Kekal (HSK).

“Masalah pembalakan berlaku di seluruh Malaysia yang dilakukan orang yang tidak bertanggungjawab, cuma di Kelantan isunya tidak serius.

“Pembalakan haram itu memang ada, orang kampung buat kebun tanam durian, tanam kelapa sawit dan mungkin tebang hutan simpan, malah setakat kelmarin kita mendapat maklumat bahawa dua ekor harimau yang masih berkeliaran itu belum dapat dikesan namun tidak memasuki kampung,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.