Oleh Zuhayati Yazid
Patut berfungsi sebagai lidah kerajaan bukannya terpesong ke arah negatif
BANGI – Kewujudan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) tidak lagi releven di negara ini sekiranya ia terus membelakangi matlamat utama penubuhannya.
Sikap yang dipamerkan suruhanjaya berkenaan sejak kebelakangan ini bukan sahaja mengecewakan malah melanggari etika budaya ketimuran yang dipegang rakyat Malaysia.
Atas dasar itu, Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim mendesak, supaya barisan kepimpinan SUHAKAM dinoktahkan perkhidmatan secepat mungkin.
Katanya, ini bagi membolehkan barisan kepimpinan baharu yang lebih berkaliber dipilih untuk memperjuangkan isu-isu lebih dominan.
“Tidak ada guna diteruskan sekiranya hanya membela isu-isu tertentu sahaja yang jelas melanggar norma ketimuran budaya kita yang konon hak asasi manusia.
“SUHAKAM sepatutnya memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan berteraskan aspirasi negara, bagi membangun serta membentuk kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat.
“Isu-isu keadilan dalam perundangan, pendidikan, ekonomi, kesihatan dan kebajikan perlu diberi perhatian yang serius dan bukannya memilih bulu dengan fokus kepada isu terpilih sahaja,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Media Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris yang melihat perjuangan SUHAKAM kini bercanggah dengan arus hak asasi manusia selaras Perlembagaan negara.
Selain berlaku diskriminasi kerana sering ‘memilih bulu’ ketika mempertahankan kononnya hak asasi manusia, dakwa Rashidi lagi.
Dalam pada itu, Ustaz Zamani mengingatkan SUHAKAM supaya faham tentang fungsi utama penubuhannya iaitu sebagai lidah rasmi kerajaan dalam memperjuangkan hak asasi rakyat.
Namun begitu, dakwanya, apa yang terjadi hari ini nyata tersasar jauh dan SUHAKAM perlu kembali kepada lunas Perlembagaan serta panduan agama Islam.
“Keadaan ini bukan sahaja dilihat tidak menjalankan tanggungjawab sebenar tetapi juga merugikan negara yang terpaksa keluar dana bagi bayar gaji kepada organisasi yang kini lebih cenderung bawa isu mengarut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.