Rabu, 26 Januari 2022

Pfizer BioNTech mulakan ujian klinikal vaksin sasar varian Omicron

Reuters

1,400 orang sukarelawan di Amerika Syarikat disasarkan mendaftarkan diri dalam ujian klinikal tersebut.

Pfizer BioNTech memulakan ujian klinikal untuk menguji versi baru vaksin Covid-19 yang dirumus khas untuk menangani varian Omicron, di mana varian itu sebelum ini dapat mengelak daripada perlindungan dua dos vaksin.

Syarikat farmaseutikal itu kini sedang merekrut sukarelawan di Amerika Syarikat bagi menguji tindak balas imun yang dijana melalui vaksin berasaskan varian Omicron dengan tiga suntikan kepada individu yang tidak divaksinasi dan sebagai suntikan penggalak bagi mereka yang telah menerima dua dos vaksin.

Pfizer BioNTech juga sedang menguji dos keempat vaksin yang dijalankan ketika ini berbanding dos keempat vaksin berasaskan Omicron kepada mereka yang telah menerima dos ketiga vaksin Pfizer tiga hingga enam bulan lebih awal.

Syarikat itu juga merancang untuk mengkaji keselamatan dan toleransi suntikan tersebut terhadap lebih dari 1,400 orang sukarelawan yang mendaftarkan diri dalam ujian klinikal tersebut.

“Walaupun penyelidikan semasa dan data sebenar dunia menunjukkan bahawa dos penggalak dapat menyediakan tahap perlindungan yang tinggi bagi sakit tenat dan kemasukan ke hospital akibat Omicron.

“Kami menyedari keperluan untuk bersedia sekiranya perlindungan ini berkurangan dari semasa ke semasa dan ia berpotensi membantu menangani Omicron dan varian baru pada masa hadapan,” kata ketua penyelidikan dan pembangunan vaksin Pfizer, Kathrin Jansen dalam satu kenyataan.

Berdasarkan jumlah data ujian klinikal yang diperlukan oleh pengawal selia, rancangan untuk melancarkan vaksin yang menyasarkan varian Omicron menjelang akhir Mac belum dapat dilakukan, katanya.

Pfizer juga berkata dua dos vaksin yang asal mungkin tidak cukup untuk melindungi diri daripada jangkitan Omicron dan melindungi diri pesakit daripada dimasukkan ke hospital dan risiko berdepan kematian.

Namun, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) mengatakan dos ketiga vaksin mRNA seperti vaksin Pfizer BioNTech telah memberikan 90% perlindungan terhadap kemasukan ke hospital akibat Covid-19.

Sesetengah negara telah mula menawarkan dos penggalak tambahan, namun kajian terbaru dari Israel menunjukkan bahawa walaupun dos keempat vaksin mRNA yang dijalankan dapat meningkatkan antibodi tubuh, ia bagaimanapun belum cukup untuk mencegah jangkitan Omicron.

Agensi Perubatan Eropah (EMA) berkata pada Jumaat bahawa pengawal selia antarabangsa menuntut data daripada ujian klinikal seperti yang dilakukan oleh Pfizer dan BioNTech sebelum kelulusan vaksin baru itu diberikan.

EMA berkata kajian tersebut sepatutnya menunjukkan bahawa vaksin baru dapat menggalakkan lebih banyak antibodi yang dapat meneutralkan virus dalam darah berbanding vaksin semasa selain dapat melindungi orang ramai daripada varian baru yang membimbangkan.

Bagaimanapun, syarikat itu enggan mengulas tentang jenis data yang diminta daripada pengawal selia antarabangsa.

Ia berkata analisis antibodi daripada dos penggalak yang menyasarkan varian Omicron sepatutnya dapat membantu menjawab persoalan sama ada suntikan yang menangani lebih daripada satu varian pada satu masa diperlukan ketika ini.

Ia juga turut berharap kajian itu dapat menunjukkan antibodi dapat dihasilkan bagi meneutralkan spektrum varian berbeza.

Namun, sesetengah saintis mempersoalkan sama ada sebarang perubahan terhadap kaedah vaksinasi diperlukan pada masa ini.

“Matlamat vaksin adalah untuk melindungi daripada penyakit serius,” kata Dr Paul Offit, pakar penyakit berjangkit di Universiti Pennsylvania.

“Setakat ini, vaksin sedia ada ini dapat melakukannya, termasuk perlindungan terhadap Omicron.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.