Isnin, 31 Januari 2022

Pekerja tukar jadi bos pula!

OBJEK aneh ‘katak berkepala ikan’ yang kerap ditemui di hadapan rumahnya dipercayai ada kaitan dengan sihir. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
OBJEK aneh ‘katak berkepala ikan’ yang kerap ditemui di hadapan rumahnya dipercayai ada kaitan dengan sihir. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Di era masyarakat hidup dalam era globalisasi dan digital, masih wujud segelintir individu bertuhankan jin dan syaitan selain masih percaya pada amalan khurafat sihir.

Golongan ini yang berdamping dengan syaitan mengamalkan 'ilmu hitam' itu bagi menyakiti, mempengaruhi hati atau akal individu disihir secara sembunyi untuk memperolehi apa dihajati.

Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali Adi, 40-an berasal dari Jempol di sini, mendedahkan azab dialami selepas menjadi mangsa sihir 'katak berkepala ikan' yang ditujukan kepadanya.

Dia mendakwa menjadi mangsa sihir walaupun pada mulanya tidak percaya masih wujud individu bersekongkol dengan jin, iblis dan syaitan untuk merosakkan hidupnya.

"Semuanya bermula selepas saya berkenalan dengan seorang lelaki dari negara jiran yang diupah untuk membaiki kerosakan peralatan serta baik pulih kedai pada Oktober lalu.

"Lelaki berusia 30-an itu cukup peramah dan pandai mengambil hati. Malah, dia menawarkan diri untuk membaik pulih peralatan lain yang rosak tanpa mengenakan bayaran," katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.

Namun dia seolah-olah 'dipukau' apabila lelaki itu mula masuk campur dalam urusan perniagaan milik keluarganya itu.

"Mulanya dia hanya mencampuri urusan perniagaan di dapur restoran sebelum memberi arahan seolah-olah dia adalah pemilik premis. Malah, aspek pengurusan dan pentadbiran premis turut diganggu tanpa segan silu.

"Lelaki itu mendakwa kononnya mampu melariskan perniagaan dan menaikkan jualan perniagaan kami. Saya bagaikan 'lembu dicucuk hidung' apabila mengikut sahaja kehendaknya tanpa banyak soal," katanya.

Menurutnya, layan istimewa diberikan kepada lelaki asing itu sehingga dia bersusah payah mencari rumah sewa lengkap dengan perabot dan perkakas elektrik selain membayar sewa bulanan berjumlah RM800 khusus untuk kesenangan lelaki itu.

"Ada pekerja di restoran menyedari perubahan tingkah laku saya yang menjadi panas baran sebelum bertanyakan apa yang berlaku. Namun saya menafikan perkara itu.

"Paling ditakuti apabila anak saudara mula rapat dengan lelaki itu dan turut menjadi 'bodoh'. Sehingga satu tahap, mereka seolah-olah pasangan sedang bercinta.

"Anak saudara saya yang bekerja di restoran sama turut akur setiap arahan lelaki itu hinggakan sebarang keputusan perlu dirujuk kepada lelaki terbabit," katanya.

Menurutnya, perniagaan diusahakannya merudum hingga pernah ditutup seminggu, malah hubungan antara pekerja turut renggang.

"Mujur ahli keluarga lain menyedari sesuatu aneh berlaku sebelum membawa saya dan anak saudara untuk 'berubat' melalui kaedah rawatan Islam. Ia dilakukan selepas saya kerap rebah tanpa sebab ketika waktu Maghrib.

"Sebaik berjaya membuang 'gangguan' makhluk yang membelenggu saya, lelaki itu terus dihalau dan dihalang dari mencampuri urusan kami.

"Mungkin tidak berpuas hati dengan tindakan itu, kami diganggu pula dengan kemunculan objek 'katak berkepala ikan' yang diletak di halaman rumah sebanyak beberapa kali," katanya.

Adi berkata, apa yang berlalu kepadanya akan dijadikan pengajaran supaya dia lebih berhati-hati apatah lagi selepas dia menemui pelbagai objek aneh di premisnya seperti besi kuning, bunjut berisi serbuk mencurigakan dan azimat.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang kakitangan kerajaan mahu dikenali sebagai Shahril, 40, mendakwa menjadi mangsa sihir pemisah mengakibatkan isterinya bertukar sikap secara mendadak.

Menurutnya, semuanya bermula selepas dia mengambil seorang lelaki pekerja asing untuk melakukan kerja ubah suai kediamannya di Jempol di sini pada Oktober tahun lalu.

"Tidak lama kemudian isteri berubah sikap menjadi pemarah dan membenci saya tanpa sebab. Memandang muka saya sahaja cukup membuat dia 'naik angin'.

"Mujur ada ahli keluarga yang menasihati saya supaya mengubati isteri. Alhamdulillah, rawatan Islam dijalani dan kehendak Allah SWT berjaya memulihkan isteri saya," katanya.

Menurutnya, dia kemudian mengarahkan semua kerja baik pulih kediamannya dihentikan serta-merta dan tiada 'orang luar' dibenarkan memasuki kawasan rumahnya.

"Saya tidak percaya di zaman Tik Tok dan Facebook ini, sihir masih lagi diamalkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.