Ahad, 30 Januari 2022

Tiada hujan punca kawasan sawah jadi kering

Oleh ZULKEFLI HUSSIN
 


PASIR PUTEH:
Kira-kira 150 petani di lima kampung  di sini mendakwa mengalami  kerugian  hampir RM500,000  ekoran  padi mereka  yang  sedang  membunting seluas 200 hektar kekeringan air akibat  kemarau.

Petani terbabit dari lima kampung iaitu Gaal, Wakaf Bunut, Gong Datuk, Kok Jering, Gaal dan Gong Kedak  terletak  di kawasan Dewan Undangan Negeri  (DUN)  Gaal.

“Pokok padi  memerlukan air  bagi proses  mengeluarkan buah dan kerja menabur  baja  tambahan tetapi tidak dapat dilakukan  sejak  sebulan lepas kerana tidak ada air yang cukup  menyebabkan tanah menjadi  merekah,”  kata  Timbalan Ketua  Kelompok  Wan Mohd Kozani Wan  Yusoff, 59, ketika ditemui  di bendang Gong Datuk  semalam.

Beliau juga berkata, kawasan  bendang di  kawasan itu bergantung  kepada  air hujan  sahaja   walaupun  mempunyai  kemudahan asas seperti parit  jari  yang dibina  kerajaan  tetapi  tidak  berfungsi  sejak  beberapa  tahun.

Menurutnya ketiadaan  air dalam tempoh terdekat menyebabkan pokok  padi  akan musnah dan menjadi  kering dan buah yang akan  keluar  menjadi  hampa.

Wan Mòhd  berkata, pihaknya  menganggarkan  kawasan  itu  bakal menghasilkan  pendapatan  antara  RM2,000  hingga  RM2,500  setiap  hektar  berasaskan  pokok-pokok  padi  sekarang  hidup  subur  dan  dapat  dituai  pada  bulan  depan.

Seorang  lagi petani Ab Rahim Ab Rahman,  62  berkata,  kali ini merupakan  pertama kali  kawasan  sawahnya seluas 37  hektar  kekeringan  air  yang kebiasaannya  setiap  bulan  Januari  sehingga  Mac  hujan  masih  turun.

“Saya  pernah memperolehi  hasil  sebanyak  RM50,000 setiap  musim  tetapi  tahun  ini nasib kami masih terumbang  ambing tidak  dapat  ditentukan,” katanya.

Seorang  petani  dari  Kampung  Kedak  Zawawi  Mamat, 68,  merayu agensi berkaitan segera menempatkan  beberapa pam  air  di kawasan  terbabit.

Katanya, pam-pam  air  itu boleh menyedut  air  dari sungai  berdekatan  yang hanya   terletak 400  meter sahaja  dari  kawasan   bendang  mereka.

Sementara  itu pihak pengurusan Projek  Kawasan  Pembangunan  Pertanian  Bersepadu (IADA)  Kemasin Semerak  tidak dapat  dihubungi  bagi mendapat penjelasan lanjut. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.