TAMPIN: Seorang warga emas mati lemas selepas tergelincir dan rebah dalam banjir ketika meleraikan tali ikatan lembu di kebunnya di Felda Sungai Kelamah di sini pagi ini.
Isteri mangsa, Hashimah Ali, 62, berkata, ketika kejadian pukul 7.30 pagi, mereka sekeluarga terkejut apabila air naik lebih satu meter di kawasan kebun getah menyebabkan lembu yang ditambat di kawasan berkenaan hampir tenggelam.
Menurutnya, arwah suaminya, Rosli Roslan, 65, cuba membuka tambatan lembu namun tergelincir dan rebah ke dalam air.
“Saya menariknya ke tebing dan semasa digerak-gerakkan suami tidak beri respon menyebabkan saya menghubungi rakan sekampung bagi meminta bantuan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tampin,di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Hashimah berkata, ketika polis tiba dan memeriksa suaminya, suaminya sudah meninggal dunia.
Ceritanya, sepanjang dua tahun menetap di situ, tidak pernah berlaku banjir seburuk itu.
“Saya reda dengan kejadian ini dan berdoa Allah permudahkanlah semua urusan arwah suami saya,” katanya.
Menurutnya, arwah suaminya itu akan dikebumikan di Kampung Sungai Dua, Gemencheh selepas selesai urusan di Hospital Tampin.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tampin bagi proses siasat.- UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.