PETALING JAYA: Orang ramai mulai cemas selepas beberapa pengguna akaun bank dalam negara mendakwa bagi wang simpanan mereka ‘lesap’.
Memetik ciapan Jabatan Netizen Malaysia di laman Twitter, pelanggan bank yang mendapati baki wang simpanan mereka menjadi negatif adalah daripada bank Malayan Banking Bhd. (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad.
Beberapa tangkap layar menunjukkan beberapa individu mengadu nasib mereka apabila mereka tidak dapat membuat transaksi serta wang simpanan gagal dikeluarkan menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Menurut Nur Fauziana Mohd. Fauzi, duitnya dalam bank tIdak boleh dipindahkan atau dikeluarkan seolah-olah disekat.
“Kami bukan kaya, nak makan guna duit mana, duit di tangan dah habis, teruk punya bank,” katanya kecewa.
Terdapat pengguna yang beranggapan masalah ini timbul susulan kes Genting Hong Kong yang kini menghadapi masalah kewangan.
Terdahulu, ketiga-tiga bank yang didakwa terlibat dijangka menerima kesan besar kerana mereka adalah pemiutang tidak bercagar utama Genting Hong Kong dengan jumlah pinjaman berjumlah RM2.51 bilion.
Meluahkan rasa tidak puas hati, Azlina Manaf ralat apabila pihak bank gagal dihubungi untuk mendapatkan penerangan mengenai masalah yang timbul.
“Kenapa tiba-tiba baki dalam akaun jadi negatif, mana duit simpanan pergi, hubungi pihak bank sampai nak patah jari tidak diangkat,” ujarnya.
Dalam pada itu, ada pengguna yang berkongsi tangkap layar komen yang dibalas oleh admin sebuah bank di laman Facebook meminta pengguna yang mengalami masalah tersebut untuk hubungi pihak bank menerusi kiriman mesej (PM) bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut.
Sementara itu, CIMB memberi jawapan, pihaknya menyedari berhubung masalah pemerosesan yang membabitkan jumlah pemegang akaun yang kecil.
Menurut bank itu, pelanggan yang terlibat dikatakan menerima salinan kredit ke akaun masing-masing.
“Kami cuba memanggil kesemua pelanggan yang terlibat bagi memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.
“Pelanggan-pelanggan yang terkesan boleh menghubungi pihak bank di talian 03-22956188 bagi mendapatkan penjelasan dan perbincangan lanjut,” menurut CIMB.-UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.