Isnin, 31 Januari 2022

Gemar melabel, menuduh adalah cara dan sikap Pas sejak dulu – Shamsul Anuar

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

ITIK patah kaki, thaghut, anti Islam, malah kafir antara tuduhan yang pernah dilemparkan pas terhadap UMNO.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berpendapat, sikap Pas yang gemar melakukan tuduhan semberono dan gemar melabel itu disifatkan sebagai perkara biasa yang diamalkan pemimpin parti tersebut.

Begitupun, Shamsul Anuar berasa hairan apabila dalam keadaan mahu bersama UMNO, tuduhan dan tabiat gemar melabel itu masih diteruskan.

“Pimpinan UMNO dilabelnya dengan pelbagai gelaran. Sikap beginilah menjadi antara penyebab Muafakat Nasional (MN) menjadi hambar.

“Eloklah Pas melihat diri sendiri memandangkan mereka memiliki ramai ilmuan dan ahli agama.

“Apa yang jelas, Pas dilihat seperti mahu mengajar UMNO. Kerana itu sebenarnya bukan UMNO yang mahu menjadi Abang Long sebaliknya Pas sendiri,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Shamsul menegaskan yang ia berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

Malah, katanya, pembubaran DUN itu juga diperkenan Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Jadi tuduhan pembubaran ini atas kepentingan pemimpin UMNO tidak berasas serta tidak sepatutnya keluar daripada seorang ilmuan dan pemimpin utama parti yang kononnya berjuang untuk Islam.

“Atas dasar tanggungjawab, UMNO menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan baru,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, UMNO dan BN tidak pernah menghalang Pas untuk terus mendukung Perikatan Nasional (PN) kerana itu adalah hak parti tersebut.

Menurutnya, beliau menghormati apa jua pandangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap UMNO.

“Saya tidak menafikan jika dikatakan PN parti majmuk tetapi perlu diingat BN juga sejak ditubuhkan sudah menggabungngkan parti pelbagai kaum.

“Maka, PN tidak perlu mendabik dada kononnya hanya Pas saja yang menganjurkan perpaduan dan parti majmuk,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.