Kekal sebagai parti perjuangan hasil pengorbanan ahli-ahli yang istiqamah
KULIM-BANDAR BAHARU: PAS walaupun telah menjadi
kerajaan di beberapa negeri dan peringkat Persekutuan, namun masih kekal
sebagai parti perjuangan yang disuburkan dan dilonjakkan pencapaian
oleh ahli-ahlinya sendiri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad
Sanusi Md Nor berkata, perjuangan tersebut termasuklah ditunjukkan
ahli-ahli PAS dalam membiayai perjalanan parti dan pemilikan aset yang
terhasil dari amal memberi infak dana kewangan.
Jelas beliau, infak tersebut menjadi pengorbanan setiap ahli PAS sebagai perjuangan yang semata-mata mengharap balasan pahala di akhirat serta terus menabur bakti melalui prinsip-prinsip ditentukan jemaah.
“Hari ini kita buktikan sekali lagi walaupun kita telah menjadi kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan, (tetapi) untuk aktiviti parti kita untuk ahli dan rakan-rakan dalam jemaah kita, kita tetap meneruskan budaya infak, derma dan wakaf untuk mengembang dan menyuburkan parti kita.
“Saya yakin 70 tahun yang telah kita lepasi dalam serba kekurangan, tak pernah kaya, kita tak pernah ada harta yang berbilion-bilion, tetapi kita kekal istiqamah, tidak pernah terkurang walaupun serba kepayahan. Di mana ada pertandingan, kita akan berlawan.
“Kita ada markas di semua Cawangan, di semua UPU, di semua Kawasan, di semua Negeri. Semua itu adalah titik peluh duit poket ahli PAS. Bagi parti yang mengharapkan duit daripada sumber lain, bila hilang kuasa di dalam kerajaan, mereka teraba-raba, tercari-cari nak mesyuarat pun tak ada tempat, tak ada.
“Alhamdulillah kelebihan kita dan saya harap kelebihan ini kita akan kekalkan. Ini pun tempat yang akan kita bangunkan,” ujar beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Latihan PAS Kedah di Kampung Lubok Jong, Sedim, di sini semalam.
Tegasnya, duit PAS ada dalam poket ahli-ahli PAS, sedang duit kerajaan adalah milik kerajaan dan rakyat seluruhnya di mana PAS berprinsip sama sekali tidak menggunakan dana daripada kerajaan untuk membiayai kegiatan parti.
Jelas beliau, sikap tersebutlah membezakan PAS dengan parti-parti lain di mana terdapat parti hidup dengan dana begitu banyak yang diambil dengan berbagai-bagai kaedah hingga akhirnya memusnahkan parti tersebut.
Kerana katanya, parti politik sedemikian telah menjadi tempat mencari makan dan membina kekayaan diri serta keluarga di mana hakikatnya mereka telah hancur luluh walaupun pada kelihatan masih bernyawa.
Beliau menyebut demikian menceritakan pengalamannya didatangi ahli-ahli yang tidak memahami perjuangan PAS dan mempersoalkan kerana tidak mengambil wang dari sumber kerajaan untuk gerak kerja parti.
Iktibar Abu Darda R.A
Sanusi terdahulu dalam ucapannya membawakan renungan daripada ayat 261 dan 266 surah al-Baqarah mengenai kelebihan diungkapkan Allah mengenai infak dan kisah pemilikan tanah yang diuji senang dan susah bersilih ganti.
Meneguhkan lagi pengajaran cuba dibawanya, beliau mengupas kisah Sahabat Nabi SAW iaitu Abu Darda RA di mana menawarkan membeli sebuah pohon kurma yang menjadi pergaduhan dua Sahabat lain.
Tindakan Abu Darda itu adalah dengan ‘bayaran’ seisi kebun kurma miliknya yang sangat luas dan subur dengan mempunyai 600 batang pokok, telaga serta rumah-rumah sangat indah.
Pembelian itu semata-mata kerana mengambil jaminan Rasulullah kepada Sahabat yang bertelingkah tersebut bahawa kebenarannya kepada jiran akan beroleh ganti sebuah kebun kurma di syurga kelak.
Meninggikan teladan dari kisah itu, Sanusi juga menyeru bahawa bukan sahaja semangat infak seperti Abu Darda mesti diikuti, tetapi juga isteri dan anak-anaknya kerana sanggup melepaskan harta dimiliki mereka itu.
“Selalunya akan terdetik di hati dan sering terhalang oleh pihak-pihak yang berada di samping kita, isteri dan anak-anak mahu pun suami. Ini kerana kita berasa mereka juga layak untuk memiliki apa yang ada di tangan kita.
“Namun dalam kisah Abu Darda tadi, apabila isteri dan anak-anak dididik dengan ilmu yang mencukupi, mantap, yang akan meneguhkan keimanan insya-Allah mereka akan faham dan jual beli yang sangat tinggi di sisi Allah itu pun berlaku tanpa sebarang halangan,” ujarnya.
Kisah itu juga dibawakan beliau sebagai menyatakan perkara ‘di sebalik’ yang sama dan merakamkan penghargaan atas infak diterima PAS Kedah hingga membolehkan pembangunan tapak tersebut.
Maklum beliau, tanah itu disumbangkan seorang peneroka FELDA Jengka, Pahang, Hasan Napiah seluas 3 relung dengan kedudukan yang strategik dan telah ditanam dengan pelbagai pokok buah-buahan.
Infak segalanya untuk perjuangan
“Nak menyumbang kepada perjuangan Islam tidak perlu tunggu sehingga kita kaya dan memiliki duit yang banyak. Cukuplah kita memiliki jiwa dan keyakinan yang tinggi bahawa ini adalah urusan jual beli yang tidak ada tolok bandingnya di dunia ini. Jika tidak mampu mewakafkan tanah, kita dermakan duit.
“Jika tidak mampu menginfakkan duit, kita menginfakkan tenaga, masa, buah fikiran atau apa sahaja yang termampu oleh kita. Yang penting jangan ada perasaan kedekut dan bakhil di dalam hati kerana sebagai orang yang beriman, kita yakin bahawa apa jua sumbangan atau sedekah kita ke jalan Allah tidak ada yang tersia-sia.
“Dalam sebuah Hadis Rasulullah mengingatkan “Tiada satu pagi pun yang dilalui oleh seorang hamba, melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa, ya Allah, berikan kepada pemberi sedekah ganti sedekahnya, manakala malaikat yang satu lagi berdoa, ya Allah berikan orang yang menahan sedekah yakni orang kedekut dengan kemusnahan”.
“Alhamdulillah selama berada dalam PAS ini, kita sendiri dapat menyaksikan sahabat-sahabat kita yang masih ada ataupun yang telah pergi meninggalkan kita, yang berlazim dengan amalan sedekah dan infak sama ada sedekahkan duit wang ringgit ataupun infakkan tenaga dan masa diberi macam-macam kelebihan oleh Allah S.W.T.
“Ada saksi hidup dan kita boleh masih dapat melihatnya pada hari ini di semua peringkat, di peringkat kepimpinan, mahupun di peringkat ahli, di semua peringkat kita dapat lihat ketenangan, kebahagiaan orang-orang yang memiliki hati yang pemurah.
“Insya-Allah semua pengalaman-pengalaman yang kita saksikan, kita himpunkan sepanjang kita berada dalam Parti Islam Se-Malaysia PAS di dalam jemaah yang berkat ini menjadi pedoman dan panduan untuk kita sampaikan kepada generasi waktu ini dan generasi selepas daripada kita.
“Tuan-tuan sekalian, kita maklum dan kita yakin hidup ini hanyalah sementara. Akhiratlah yang menjadi tempat kekal abadi selama-lamanya. Di tempat yang kekal, kita akan kekal abadi itulah yang memerlukan simpanan dan saving yang banyak untuk kita hidup selama-lamanya di sana.
“Dengan amal yang kita sumbangkan dalam bentuk kebajikan untuk tujuan ilmu seperti yang telah ditunjukkan oleh Tuan Haji Hassan pada hari ini, ia akan mengalir dan terus terus mengalir selama-lamanya walaupun setelah kita tidak ada lagi di dunia ini, pahala akan terus merahmati sampai kepada kita di alam barzakh dan di alam akhirat.
“Pada masa itu tidak ada yang lebih kita harapkan selain pahala amalan seperti ini dan doa anak-anak yang soleh dengan memikirkan ganjaran di akhirat, sesungguhnya tidak ada yang lebih menguntungkan, tidak ada yang lebih kita harapkan melainkan hasil pelaburan dalam bentuk wakaf dan infak di jalan Allah.
“Dialah yang memberi dan Dialah Yang Maha Membalas apa jua yang kita ada di dunia ini. Sesungguhnya tidak membawa apa-apa nilai untuk hidup yang sementara melainkan jika kita jadikan sebagai jambatan untuk kehidupan yang kekal abadi di akhirat,” ucapnya.
Pusat Kecemerlangan PAS
Beliau turut melahirkan harapan agar Pusat Latihan PAS Kedah ini kelak diimarahkan sebagai mercu tanda sebuah pusat kecemerlangan bukan sahaja untuk ahli PAS tetapi juga masyarakat sebagaimana Masjid Nabawi.
Katanya, sejak zaman Rasulullah dan Khulafa’ Ar-Rasyidin masjid itu tidak hanya menjadi tempat solat, tetapi juga pusat tamadun, pentadbiran, pendidikan, peperangan dan segala aktiviti.
Dari pusat tersebut jelasnya, berjaya mendaulatkan Islam menguasai satu pertiga dunia, sekali gus pusat latihan itu nanti mesti diaktifkan hingga mampu mendidik masyarakat mencintai Islam.
Beliau juga berharap budaya infak dalam kalangan ahli PAS terus subur dan menjadi pemadam api sebagaimana hadis disebut Rasulullah SAW. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.