Selasa, 18 Januari 2022

44 pelajar sekolah asrama di Kota Bharu positif Covid-19

AGENDA DAILY

Empat puluh empat pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Jalan Telipot, Kota Bharu disahkan positif Covid-19 sehingga semalam, sejak satu kluster diisytiharkan pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, siasatan mendapati terdapat seramai 256 kontak rapat yang dikenal pasti di dalam Kluster Embi Telipot.

“Semua kontak rapat ini diarahkan untuk menjalani kuarantin. Mereka juga dinasihatkan supaya menjalani saringan sekiranya mengalami gejala dalam tempoh itu.

“Sehingga semalam, seramai 44 kes yang dikesan positif Covid-19 membabitkan semua pelajar asrama sekolah itu,” katanya memetik laporan BH hari ini.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu juga mencadangkan supaya proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka sekolah itu ditangguhkan bermula hari ini sehingga 25 Januari ini.

Mengulas berhubung dakwaan tular yang mendakwa kes Covid-19 itu berpunca daripada seorang pelajar di mana ibu bapanya baharu pulang dari menunaikan umrah dan disahkan dijangkiti varian Omicron, Dr Zaini berkata, dakwaan itu tidak benar kerana belum ada keputusan varian Omicron bagi sampel ibu bapa pelajar berkenaan.

“Namun, pihak kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca kes di sekolah itu.

“Kita sahkan, ada kluster Covid-19 di sekolah berkenaan yang membabitkan pelajar asrama,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan mesej yang tidak benar kerana boleh menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa dan masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.