KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga kini sudah membuka 14 kertas siasatan berkaitan kegiatan pemalsuan sijil vakinasi COVID-19 di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata daripada keseluruhan 14 kes itu, siasatan sembilan kes dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).
"Siasatan untuk baki lima kes dijalankan oleh JSJ dan semua kes berstatus 'masih dalam siasatan'," katanya kepada BH, hari ini.
Dalam pada itu, katanya tiada sebarang tangkapan baharu dilakukan terhadap mana-mana individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan itu buat masa ini.
Media sebelum ini melaporkan Polis Terengganu menahan seorang doktor swasta lelaki berusia 51 tahun serta enam individu termasuk seorang juruteknik bagi membantu siasatan berhubung penipuan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu di Marang.
Mereka yang berusia antara 35 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Marang, Dungun dan Kuala Terengganu pada 8 dan 9 Januari lalu.
Di Kelantan, polis dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menahan empat individu yang dipercayai terbabit dalam pemalsuan sijil vaksinasi palsu membabitkan sebuah klinik swasta di Kota Bharu, 16 Januari lalu.
Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga pembeli kad vaksinasi dan seorang pemilik klinik, berusia lingkungan 30-an hingga 60-an.
Sementara itu di Selangor, polis menahan tujuh individu termasuk tiga wanita berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun yang juga pekerja dan pemilik sebuah poliklinik.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dalam sidang media 17 Januari lalu, berkata mereka dipercayai terbabit dalam aktiviti pemalsuan cara memperoleh dan mengeluarkan sijil vaksinasi secara tidak sah di Selangor.
Dalam pada itu di Johor, polis negeri itu membongkar sindiket penjualan sijil digital vaksin palsu yang beroperasi di Johor Bahru susulan penahanan tiga pekerja klinik swasta dan lima pembeli sijil berkenaan pada 17 dan 18 Januari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.