Khamis, 2 Disember 2021

Warga emas disaran ambil dos penggalak

Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Warga emas yang menerima vaksin Sinovac paling berisiko tinggi sekiranya tidak menerima dos penggalak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, justeru kumpulan itu dinasihatkan segera menghadiri janji temu untuk mengambil dos penggalak lebih-lebih lagi dengan kewujudan varian baharu Covid-19.

“Saya ingin maklumkan terutama warga emas yang menerima vaksin asal Sinovac, kumpulan ini paling berisiko tinggi jika tidak terima dos penggalak.

“Kementerian Kesihatan (KKM) nasihatkan warga emas ini untuk cepat dan pantas hadir ke janji temu terima dos penggalak. Lebih-lebih lagi perkembangan terkini varian Omicran dan jelas tahap kebolehjangkitannya lebih tinggi daripada delta walaupun ia belum berada di Malaysia.

“Langkah pencegahan ini perlu untuk semua warga emas mendapatkan dos penggalak terutama yang menerima Sinovac disebabkan tempoh masa ini, keberkesanan vaksin ini menurun lagi cepat berbanding Pfizer,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini sebanyak 2,457,510 dos penggalak sudah diberikan kepada penerima biarpun pada awalnya, kehadiran tidak memberangsangkan dengan ketidakhadiran kira-kira 40 peratus.

“Setelah kita perkenalkan ‘backup list’, jadi sangat kurang dan hampir memenuhi kapasiti setiap hari. Ini satu perkembangan yang baik.

“Bagaimanapun, kita dapati ada segelintir warga emas telah menerima vaksin Sinovac yang tidak hadir untuk janji temu dos penggalak,” ujarnya. -K!ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.