Ahad, 26 Disember 2021

UMT bangunkan aplikasi sistem ramalan laut

BH ONLINE
Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar (kanan) bersama Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT, Prof Ts Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir melihat aplikasi sistem ramalan laut yang sedang dibangunkan universiti itu bagi memudahkan penggunaannya dalam kalangan orang awam. - Foto BERNAMA
Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar (kanan) bersama Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT, Prof Ts Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir melihat aplikasi sistem ramalan laut yang sedang dibangunkan universiti itu bagi memudahkan penggunaannya dalam kalangan orang awam. - Foto BERNAMA

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sedang membangunkan aplikasi sistem ramalan laut bagi memudahkan penggunaannya dalam kalangan orang awam.

Naib Canselornya, Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar, berkata sistem ramalan laut iaitu Sistem Ramalan Marin Malaysia (MFAST) dibangunkan tiga tahun lalu dan ia memberi ramalan yang lebih tepat berbanding satelit kerana data atau maklumat diperoleh dari lautan menggunakan boya adalah secara 'in situ' atau keadaan semasa pada waktu itu.

Beliau berkata, sistem itu adalah sistem operasi marin nasional pertama yang menawarkan ramalan lima hari bagi data arus, gelombang dan suhu lautan untuk kegunaan semua sektor, termasuk rekreasi, pelancongan, perikanan, penyelamatan, perkapalan serta industri minyak dan gas.

"Terdapat banyak model atau sistem ramalan cuaca yang digunakan di dunia, tetapi kebanyakannya dibuat secara global dan berskala besar oleh negara maju seperti Amerika Syarikat.

"Jadi ketepatan untuk digunakan di Malaysia tidak sebaik berbanding MFAST, yang data sebenar datangnya dari kawasan kita sendiri. Ini akan meningkatkan lagi ketepatan sistem ramalan itu.

"Aplikasi bagi sistem ini dijangka siap tahun depan," katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Mazlan berkata, pihaknya bekerjasama dengan pakar teknologi maklumat (IT) bagi menghasilkan visualisasi dan simulasi yang lebih interaktif serta mudah difahami pengguna.

Beliau berkata, cabaran utama adalah untuk memindahkan data ke bentuk aplikasi yang boleh dibaca dengan mudah oleh orang awam, sekali gus membolehkan mereka bertindak lebih cepat ketika bencana.

"Pakar IT sedang memperkemaskan sistem untuk menghasilkan visualisasi yang mudah diterima semua kerana kita mahu aplikasi itu lebih interaktif dan cepat," katanya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, UMT juga melaksanakan program bagi memberi pengetahuan berkaitan sistem ramalan laut kepada orang awam.

"Amat penting untuk kita mendidik masyarakat mengenai bagaimana untuk memahami maklumat atau peta yang dipaparkan di mana-mana sistem ramalan kaji cuaca bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.