MUSIBAH banjir di lapan negeri baru-baru ini sangat menguji semua pihak – termasuk dalam bab menguruskan hal-hal berkaitan pasca bencana.
Malah, soal bantuan dan kemudahan kepada mangsa-mangsa banjir ditekankan berulang kali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pelbagai inisiatif bagi meringankan mangsa-mangsa banjir diumum sejajar dengan konsep pentadbiran Keluarga Malaysia yang keseluruhannya sudah bernilai RM1.4 bilion setakat ini.
Ini sudah tentu memerlukan penglibatan seluruh kementerian dan jabatan sebagai sebuah pasukan kerana musibah banjir kali ini sangat mengesankan dan tambahan pula ancaman tengkujuh belum berakhir.
Pantai timur, Johor dan Sabah diletakkan dalam keadaan waspada gelombang kedua banjir.
Justeru, untuk merealisasikan apa dirancang sudah tentu menuntut sistem penyampaian perkhidmatan awam yang diketuai Ketua Setiausaha (KSU) di peringkat kementerian lengkap pasukannya.
Namun, difahamkan ketika ini ada tiga kementerian yang menyaksikan kekosongan jawatan KSU.
Tiga kementerian itu ialah Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan.
Maklumat ini juga boleh disemak di laman web tiga kementerian terlibat dan tertera ‘kosong’ bagi jawatan KSU.
Selain KSU, difahamkan juga ada jawatan dalam kategori pengurusan tertinggi di kementerian lain turut berlaku kekosongan.
Kenapa berlaku? Harapnya pengisian jawatan penting terutama KSU tidak mengambil masa lama oleh pihak yang berkenaan.
Situasi sekarang dan di saat COVID-19 masih menular tentunya sangat menuntut pengurusan tertinggi di setiap kementerian lengkap pasukannya.
Sektor awam negara diketahui memiliki modal insan hebat, barisan pelapis sentiasa bersedia memikul tanggungjawab lebih besar.
Soal ketiadaan calon bukanlah isu rasanya. Jadi, isilah segera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.