Khamis, 2 Disember 2021

Tiada pelaksanaan Undi 18, daftar pemilih automatik bagi PRN Sarawak, kata SPR

 Nur Shazreena Ali

DUN Sarawak dibubarkan pada 3 November, sebelum pindaan itu diwartakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berkata penurunan had umur mengundi dan sistem daftar pemilih automatik tidak akan dilaksanakan bagi pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan di Sarawak.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata kenyataan sebelum ini berhubung PRN mengatakan hanya 1.2 juta pengundi berdaftar yang layak mengundi pada 18 Disember.

“Perenggan 17 menyatakan pilihan raya kali ini hanya akan menggunakan jumlah keseluruhan 1.2 juta pengundi berdaftar setakat 2 November,” katanya kepada MalaysiaNow ketika ditanya mengenai perkara tersebut.

Minggu lalu, Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata di Dewan Rakyat bahawa Undi 18, di mana had umur minimum bagi mengundi direndahkan dari 21 kepada 18 tahun, dan daftaran pemilih automatik akan dilaksanakan sebelum 31 Disember.

Pelaksanaan itu juga selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu.

Cadangan pindaan tersebut diluluskan di Parlimen pada Julai 2019.

Ghani juga berkata pewartaan itu menyatakan Yang di-Pertuan Agong memilih tarikh 15 Disember sebagai tarikh penguatkuasaan pindaan Undi 18 boleh dilaksanakan.

Pindaan Perlembagaan itu diwartakan pada 25 November lalu.

Bagaimanapun, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada 3 November, sebelum pindaan itu diwartakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.