WALAUPUN masih terdapat desakan untuk mengeluarkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bertegas menolak permintaan berkenaan.
Dalam kenyataan dilaporkan Malay Mail, Tengku Zafrul berkata, tindakan membenarkan pengeluaran simpanan itu hanya akan membebankan generasi akan datang yang perlu menjaga warga emas tanpa simpanan persaraan.
Tengku Zafrul menegaskan, langkah luar biasa yang dilaksanakan KWSP sebelum ini adalah sebagai tindak balas menghadapi situasi sukar yang belum pernah berlaku ekoran pandemik global.
Hasilnya, kata beliau, pencarum telah pun mengeluarkan RM101 bilion daripada simpanan KWSP masing-masing.
Justeru, Tengku Zafrul menegaskan, inisiatif tersebut adalah program luar biasa yang telah memenuhi tujuannya dan mesti berakhir dengan muktamad.
“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa pihak secara agresif melobi supaya kerajaan membenarkan pengeluaran awal tambahan pencarum daripada simpanan persaraan mereka.
“Izinkan saya mengulangi bahawa kerajaanlah yang pertama kali mencetuskan idea ini tahun lalu dan ia hanya dapat dilaksanakan selepas pertimbangan teliti serta penilaian kewangan dan ekonomi.
“Suara-suara yang kini ‘menghasut’ rakyat dalam isu ini tidak pernah terlibat dalam keputusan itu justeru tidak mengetahui tentang pelbagai analisis komplikasi dan impak.
“Namun, provokator ini berniat mengeksploitasi keadaan dan telah menekan KWSP serta kerajaan,” katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kebajikan jangka panjang rakyat dengan menyediakan penyelesaian kepada cabaran semasa dan masa depan.
Menurut beliau, Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2030 iaitu hanya lapan tahun lagi.
Sekiranya populasi tua tidak mampu memenuhi keperluan asas, Tengku Zafrul berkata, beban kewangan itu bukan sahaja ditanggung oleh kerajaan tetapi juga kepada pembayar cukai akan datang.
“Itulah sebabnya pentadbiran sebelum ini tegas dalam menjaga dana persaraan ahli dalam KWSP.
“Sebagai contoh, pada 2014, banjir besar melanda beberapa negeri termasuk Kelantan dan Pahang yang menjejaskan lebih 300,000 isi rumah dengan ramai kehilangan kediaman dan kereta.
“Walaupun hakikatnya ada mangsa banjir kehilangan segala-galanya dalam bencana itu, namun kerajaan bertegas tidak membenarkan walau satu sen pun pencarum menyentuh wang hari tua mereka.
“Sebaliknya, kerajaan membantu mangsa membina semula kehidupan melalui cara lain dan hari ini, kerajaan menggunakan pendekatan sama untuk membantu mangsa banjir,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.