HADIS dan fatwa telah pun jelas mengenai larangan
mandi Safar dan mempercayai kesialan pada bulan tertentu seperti mandi
Safar ataupun percaya kepada burung hantu dan seumpamanya.
Dalam
ilmu perubatan pun tidak ada kejadian yang spesifik yang dikaitkan
dengan bulan-bulan tertentu sehingga kita terpaksa mengambil langkah
yang lebih supaya tidak ditimpa oleh sial dari bulan berkenaan. Tapi
kita dikehendaki untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga demi
menjaga kesihatan tanpa mengira masa, bulan, tempat dan ketika.
Pernah tersebar satu kepercayaan karut yang mengaitkan bulan gerhana dengan penyakit kulit dan penyakit kecacingan di kalangan kanak-kanak. Jika dikaji dari sudut kajian saintifik memang tiada pun bukti bahawa gerhana bulan boleh menyebabkan penyakit kulit atau cacing.
Penyakit kulit dan cacing di kalangan kanak-kanak berlaku sepanjang masa. Bahkan penyakit cacing pun sudah agak berkurang kerana kita sudah menjaga kebersihan dan sistem sanitasi yang begitu tersusun. Ianya berbeza di zaman dahulu yang membuang najis di merata tempat. Ketakutan tertentu manusia di zaman tersebut menyebabkan membuat rekaan penyakit pada peristiwa bulan.
Trend peningkatan penyakit tertentu di bulan tertentu memang wujud, tetapi trend itu kita boleh agak apakah penyebabnya. Awal bulan Syawal, kes cirit-birit meningkat sebab makan juadah raya berlebihan sehingga perut meragam.
Di bulan-bulan atau musim durian, rambutan, duku pula, kes kemasukan ke wad akibat darah tinggi kencing manis meningkat. Sebab pesakit tak makan ubat, risau berlawan dengan buah-buah itu. Sekali gus makan buah tersebut meningkatkan gula dalam darah.
Andai kata hamil itu sejenis penyakit (buatan orang), trend ibu hamil dan bersalin akan meningkat pada bulan September. Sebab perkahwinan biasanya berlangsung akhir tahun, 9 bulan sebelumnya. Tetapi sekarang trend itu sudah semakin pupus, sebab orang zaman sekarang kahwin dah tak kira bulan dah.
(*) DR SUHAZELI ABDULLAHPakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.