Rabu, 1 Disember 2021

Sudah sampai masa sektor pertanian guna teknologi

Oleh EVA NATASHA SADALI
 


KUALA LUMPUR: Industri pertanian negara perlu beralih kepada teknologi, terutama internet kebendaan (IoT) demi produktiviti dan kecekapan hasil pertanian yang lebih baik.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, berkata ini kerana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan penghasilan pertanian global akan meningkat sebanyak 69 peratus antara tahun 2010 hingga 2050.

Katanya, peningkatan populasi penduduk dunia pula dijangkakan seramai 9.7 bilion pada tahun 2050.

Sehubungan itu, katanya penggunaan teknologi tinggi seperti dron, sistem pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI) dan sistem data raya yang komprehensif mampu mengubah landskap sektor pertanian.

“Globalisasi ternyata mempengaruhi gaya dan kaedah pertanian masa kini yang tidak lagi bergantung penuh terhadap alatan tradisional.

“Segelintir petani masih mengekal dan mempraktikkan kaedah tradisional walaupun landskap dunia berubah saban tahun,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff meminta penjelasan kerajaan berhubung penerapan inovasi dan teknologi yang telah atau akan dilaksanakan bagi membantu perubahan landskap pertanian negara.

Beliau juga meminta kerajaan menyatakan status projek inovasi rakyat yang telah berjaya dihasilkan serta hala tujunya kelak.

“Pembangunan sesebuah projek tidak sepatutnya terhenti setelah siap dan berjaya dihasilkan. Keadaan ini berikutan kekurangan penglibatan atau sokongan pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pengkomersialan produk tidak berjalan lancar kerana pelbagai kekangan menyebabkan kemajuan yang dicapai hanya setakat pembangunan produk,” katanya yang berpandangan bahawa penglibatan dan sokongan pihak berkaitan amat diperlukan. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.