Ahad, 26 Disember 2021

Sisa barangan rosak akibat banjir meningkat tiga kali ganda

BH ONLINE
Longgokan sampah pukal di bahu jalan menyukarkan pergerakan lalu lintas ketika tinjauan pasca banjir di Hulu Langat. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Longgokan sampah pukal di bahu jalan menyukarkan pergerakan lalu lintas ketika tinjauan pasca banjir di Hulu Langat. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

DENGKIL: Syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Worldwide Holdings Bhd selaku operator Tapak Pelupusan Sisa Lengai Dengkil, menerima peningkatan tiga kali ganda sampah yang rosak akibat banjir berbanding kebiasaan, kata Jurutera Operasinya, Azimie Zakaria.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Azimie berkata pihaknya sebelum ini menerima 500 tan sampah sehari berbanding 1,500 tan ketika ini, ekoran kerja-kerja pembersihan kediaman sedang giat dijalankan penduduk selepas banjir surut.

"Kita di sini (Tapak Pelupusan Sisa Lengai Dengkil) terima sampah lengai seperti sisa pukal, kebun, pembinaan dan kini barangan yang rosak akibat banjir.

"Yang paling ketara pasca banjir adalah perabot dan kelengkapan rumah lain seperti barangan elektrik," katanya.

jir, beliau berkata waktu operasi di tapak pelupusan berkeluasan 145 ekar yang dibuka sejak 2004 itu dilanjutkan sehingga 11 malam berbanding 8 pagi hingga 6 petang sebelum ini.

"Kita harap dapat percepatkan proses untuk bersihkan barang-barang rosak yang dilonggokkan di hadapan rumah atau di tempat pembuangan sampah di kawasan perumahan," katanya.

Beliau berkata kebanyakan lori pengangkut sisa adalah lori Roro tiga tan dengan kekuatan tiga pekerja, yang dikendalikan pekerja pembersihan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB) cawangan Sepang setiap hari.

"Bagi kawasan perumahan kita hanya guna kudrat tenaga manusia untuk angkat semua jenis barang yang rosak. Agak sukar untuk guna jentera seperti 'back-hoe' kerana akan halang laluan keluar masuk penduduk," katanya.

Azimie berkata jumlah kekerapan perjalanan sebuah lori Roro dari kawasan perumahan ke tapak pelupusan juga meningkat kepada lima kali sehari.

"Sebelum banjir ada 200 hingga 300 lori Roro masuk ke tapak pelupusan, tapi kini boleh capai 400 biji sehari sebab sebuah lori Roro buat lima kali perjalanan. Secara purata satu lori hanya boleh bawa sisa sampah banjir bagi satu rumah sahaja," katanya.

Ditanya mengenai kos operasi, beliau mengakui bahawa pihaknya menjangkakan peningkatan kos luar biasa, memandangkan waktu operasi dilanjutkan kerana ia membabitkan tenaga kerja buruh dan pelanjutan operasi jentera berat serta kos pembelian tanah merah bagi menutupi setiap lapisan sampah yang dimanpatkan.

"Kos operasi dijangka meningkat 40 peratus," katanya.

Mengenai proses pelupusan, beliau berkata setiap lori Roro akan ditimbang dua kali iaitu sebelum dan selepas mengeluarkan sampah dari kenderaan terbabit di lokasi yang disediakan.

"Dengan cara ini, kami akan dapat kapasiti berat sebenar sampah yang dibuang di sini," katanya.

Beliau berkata sampah terbabit akan diasingkan terlebih dahulu sekiranya terdapat barangan yang boleh dikitar semula bagi mengurangkan jumlah sampah yang perlu dilupuskan.

"Sampah-sampah ini kemudiannya akan dimampatkan guna jentera seperti 'back-hoe'. Selepas itu akan ditutup dengan tanah merah untuk elak daripada serangga vektor dan bau," katanya.

Usai proses itu, Azimie berkata pihaknya akan menjalankan kerja-kerja landskap dan membina saluran longkang, memandangkan apabila sesebuah tapak pelupusan tersebut ditutup, ia hanya sesuai dibangunkan sebagai kawasan rekreasi sahaja.

Sementara itu, Ketua Operasi KDEB cawangan Sepang Ahmad Fauzan Hushim berkata pihaknya terpaksa menghentikan seketika tugas pembersihan ruti,n bagi memastikan barang-barang yang rosak dapat dibawa ke tapak pelupusan dengan segera.

Katanya, syarikat terbabit menggunakan sepenuhnya aset yang dimiliki iaitu 34 lori Roro tiga tan dan 136 pekerja pembersihan.

"Sejurus banjir surut, penduduk mula mengeluarkan barang mereka yang rosak. Ini mudahkan pekerja untuk angkut ke tapak pelupusan yang dianggarkan antara 10 dan 15 kilometer dari kawasan perumahan sekitar Sepang," katanya.

Justeru itu, beliau meminta setiap penduduk untuk bersabar dengan memberi jaminan bahawa pihaknya akan mempercepatkan kerja-kerja pembersihan memandangkan barangan yang rosak akibat banjir mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan sekiranya dibiar terlalu lama.

Katanya, pekerja pembersihan kini giat menjalankan tugas masing-masing dalam apa jua keadaan dan cuaca demi memastikan kepuasan penduduk. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.