Selasa, 28 Disember 2021

Selepas 13 hari bersembunyi, Long Tiger akhirnya diberkas polis

SEPANDAI-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah jua. Begitulah perumpamaan yang boleh diberikan mengenai kemampuan penjenayah paling dikehendaki di Johor apabila dia ditangkap semula selepas 13 hari melarikan diri dari lokap.

Polis Johor akhirnya berjaya memberkas semula seorang lelaki berketurunan Rohingya, Abdul Hamim Ab. Hamid atau dikenali sebagai Long Tiger yang melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak baru-baru ini.

Menurut sumber, Abdul Hamim, 32, ditahan di sebuah rumah yang dijadikan tempat persembunyiannya selepas pihak polis Johor menjalankan satu operasi khas bagi menangkapnya hari ini.

Butiran penangkapan suspek yang bersembunyi sejak 13 hari lalu dijangka diberikan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang akan mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor esok.

Dalam kejadian pada pukul 11.55 pagi, 15 Disember lalu, Ab. Hamim bertindak meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan terhadapnya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan bermula.

Baru-baru ini, polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki rakan subahat kepada Long Tiger.

Pasangan warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun itu ditahan di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira 12.30 tengah malam.

Malah, dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long Tiger meloloskan diri kini ditahan kerja sehingga habis proses rayuan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Sementara itu, Long Tiger juga masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan kini disiasat mengikut Seksyen 224 kanun sama kerana lari daripada tahanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.