Rabu, 29 Disember 2021

Percepat dos penggalak elak sistem kesihatan negara lumpuh

Oleh Zuhayati Yazid

Tetap perlu waspada meski simptom Omicron tak ganas seperti Delta

BANGI – Pemberian dos penggalak perlu dipercepatkan kerana bukan sahaja mengekang penularan dan lonjakan kes, sebaliknya dapat menyelamatkan sistem kesihatan negara.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, situasi itu penting kerana pasukan perubatan bukan sahaja merawat pesakit COVID-19, tetapi perlu juga memantau pesakit lain.

“Dalam tempoh enam bulan tahun ini sahaja kebanyakan aktiviti perawatan dan pengurusan penyakit bukan COVID-19 terhalang, keadaan itu memaksa pesakit dipindahkan ke hospital swasta.

“Jadi kita perlu ingat ‘kenangan’ mencabar yang pernah dilalui berbanding keadaan kita yang selesa hari ini.

“Justeru kita perlu pantas supaya pemberian vaksin penggalak dilakukan dengan cepat, bukan sahaja lindungi diri mereka yang yang berdepan kesan serius tapi diyakini mampu selamatkan sistem kesihatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel di program Dimensi bertajuk, 2022, Jangkaan Gelombang Omicron yang disiarkan di TV Pertiwi, malam ini.

Prof Malina menjelaskan, biarpun simptom Omicron tidak sebegitu ganas berbanding delta dan varian-varian lain namun sikap berwaspada perlu diutamakan.

Kelekaan dalam SOP membolehkan mereka yang terdedah berpotensi mendapat jangkitan dan impaknya terus kepada individu yang belum divaksin, warga emas serta indiviu yang mempunyai penyakit kronik.

“Pada saya, apa yang dilakukan kerajaan adalah pendekatan yang tepat cuma kita perlu bergerak pantas.

“Saya harap perkara ini tidak berulang seperti berlaku pada Jun, Julai dan Ogos lalu di mana ratusan pesakit COVID-19 meninggal dunia dalam tempoh sehari.

“Justeru, kita harap vaksin penggalak dapat dilakukan dengan segera,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihati supaya tidak terlalu selesa dengan statistik kes yang semakin menurun kerana dibimbangi menjadi seperti yang berlaku di Eropah.

“Apa yang kita lihat di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kini, kes mereka melonjak dan berada di luar jangkaan walaupun majoriti penduduk mereka sudah menerima vaksin,” katanya.

Pautan Dimensi:
https://fb.watch/aaRnpVESBQ/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.